Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang berjaya menahan sebuah kapal nelayan asing yang disyaki menceroboh perairan negara serta menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram kira-kira 102 batu nautika di timur laut Pelabuhan Kuantan, Isnin lalu.
Pemeriksaan yang dijalankan terhadap kapal tersebut mendapati ia dikendalikan oleh 18 kru warga Vietnam, termasuk seorang tekong, dengan lingkungan usia antara 21 hingga 55 tahun.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan Mat Rejab, kapal nelayan berkenaan berjaya dipintas dan ditahan kira-kira jam 2.40 pagi oleh aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Makmur, Op Naga, Op Iman, Op Tiris dan Op Pelantar Merah.
Tambah beliau, ketika operasi penggeledahan dijalankan, berlaku tindakan agresif daripada kru kapal tersebut sehingga mencetuskan pergelutan dengan pasukan penguat kuasa.
“Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal sepenuhnya hasil tindakan pantas dan profesional anggota Maritim Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, kapal nelayan berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan serta gagal melaporkan ketibaan di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
“Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran yang sah.
“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta, manakala setiap kru pula boleh dikenakan denda sehingga RM600,000,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kapal bersama kira-kira 1,000 kilogram hasil laut diiring ke Jeti Zon Maritim Kemaman sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing serta aktiviti perikanan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (Illegal, Unreported and Unregulated Fishing – IUU Fishing) yang mengancam kelestarian sumber marin serta kedaulatan perairan negara,” katanya. -PAHANGMEDIA

