Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kebajikan atlet terus menjadi fokus utama Kontinjen Pahang dalam memastikan persiapan terbaik menjelang Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Ketua Kontinjen Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), YB Tuan Khairulnizam Mohammad Zuldin berkata, selain memberi penekanan terhadap persediaan fizikal, aspek mental, motivasi dan kebajikan atlet turut menjadi keutamaan bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik sepanjang temasya berlangsung.
Menurut beliau, kebajikan atlet meliputi keperluan makan dan minum, penginapan, pengangkutan serta penyediaan peralatan yang mencukupi, selaras dengan penekanan yang diberikan oleh YAB Menteri Besar Pahang terhadap kesejahteraan atlet.
“Selain atlet, kita turut memberi perhatian kepada jurulatih dan pengurus pasukan menerusi kem atlet, sesi libat urus bersama jurulatih, pengurus pasukan serta penyelaras bagi setiap acara. Apabila semua elemen ini digerakkan secara bersepadu, Insya-Allah sasaran Kontinjen Pahang di SUKMA Selangor mampu dicapai,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman pada SUKMA Sarawak sebelum ini membuktikan aspek motivasi dan kebajikan merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi semangat juang atlet ketika pertandingan.
Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran menguruskan Kontinjen Pahang kali ini jauh lebih besar berbanding pengalaman beliau sebagai Ketua Kontinjen Para SUKMA Sarawak yang hanya melibatkan kira-kira 60 atlet.
Katanya, penyertaan lebih 700 atlet dalam 37 acara, dengan lebih 400 pingat emas dipertandingkan, memerlukan pengurusan yang lebih tersusun dan menyeluruh.
“Alhamdulillah, kita bekerja sebagai satu pasukan. Peranan penyelaras, pengurus pasukan, jurulatih serta Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Pahang yang turut menyelia setiap acara banyak membantu melancarkan pengurusan kontinjen,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran SUKMA Selangor tanpa konsep perkampungan sukan turut memberi cabaran dari aspek logistik kerana atlet ditempatkan di lokasi pertandingan yang berbeza, sekali gus memerlukan penyelarasan yang lebih teliti.
Bagaimanapun, beliau yakin cabaran itu dapat diatasi melalui kerjasama erat antara Majlis Sukan Pahang, persatuan sukan negeri, jurulatih dan atlet. -PAHANGMEDIA

