Oleh : Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi menyokong usaha komuniti dalam memelihara kebersihan sungai menerusi pembinaan sebuah rumah rakit yang akan digunakan untuk memudahkan kerja-kerja memungut sampah hanyut di sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, lawatan ke Jeti Bunut Rendang bertujuan meninjau sendiri usaha penduduk kampung dalam memastikan sungai kekal bersih dan bebas daripada pencemaran.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan inisiatif masyarakat yang berganding bahu memelihara kebersihan alam sekitar, khususnya dalam memastikan sumber air di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada sampah sarap.
“Hari ini saya ingin melihat sendiri perancangan penduduk kampung dalam memastikan sungai kita bebas daripada sampah sarap. Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan usaha murni seperti ini dan semestinya kita akan memberikan sokongan yang sewajarnya.
“Persatuan di sini turut memohon bantuan bagi membina sebuah rumah rakit untuk membolehkan mereka menjalankan kerja-kerja memungut sampah yang hanyut di sungai. Sehubungan itu, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi tujuan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di sini, semalam.
Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan turut diminta mengumpulkan data berkaitan jumlah kutipan sampah yang berjaya dikumpulkan secara harian atau bulanan bagi menilai keberkesanan inisiatif tersebut serta mengenal pasti punca pencemaran sekiranya masalah berkenaan masih berlaku.
Menurutnya, SWCorp Malaysia turut memainkan peranan penting dengan menyediakan kemudahan tong sampah bagi memudahkan proses pelupusan sisa yang berjaya dikutip.
Dalam pada itu, beliau berkata, penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri turut membantu meningkatkan tahap kebersihan di seluruh Pahang.
“Mana-mana individu yang didapati membuang sampah merata-rata boleh dikenakan kompaun sehingga RM2,000 selain berdepan tindakan mahkamah serta diarahkan menjalani khidmat masyarakat seperti membersihkan kawasan awam.
“Pada masa akan datang, pihak berkuasa tempatan akan diberikan kuasa yang lebih meluas bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap kesalahan pembuangan sampah di seluruh negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati tahap kebersihan di bandar serta kawasan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri berada dalam keadaan yang semakin baik, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha berterusan Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan dan masyarakat dalam memelihara kelestarian alam sekitar. -PAHANGMEDIA

