Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 OGOS 2026 : Kerajaan Pahang akan mengambil tindakan segera mengenal pasti serta menebang pokok-pokok yang berisiko tinggi di seluruh negeri bagi mengelakkan tragedi pokok tumbang yang mengorbankan empat nyawa di Jalan Genting Highlands-Janda Baik, Bentong daripada berulang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah menyelesaikan isu keselamatan orang ramai dan bukannya mencari pihak yang perlu dipersalahkan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim telah diarahkan mengadakan perbincangan segera dengan semua agensi berkaitan.
“Pokok tersebut sebenarnya (berada) 15 meter daripada ‘reserved’ jalan. Tadi (semalam) dalam mesyuarat Exco, Tok Wan telah meminta supaya Exco PBT dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Fakhruddin dan Exco JKR, Dato’ Ir Razali selaku pengerusi bersama untuk memanggil pihak yang terlibat dengan kadar segera.
“Tadi saya arahkan kalau boleh malam ini (semalam), berbincang dengan JKR, berbincang dengan PBT, berbincang dengan jurutera daerah, berbincang dengan PTG (Pejabat Tanah dan Galian) sekali gus, dan Tok Wan bagitahu pihak-pihak berkaitan secara langsung untuk hadir mesyuarat dan kita akan buat keputusan.
“Kita kena ‘move on’. Kita bukan nak kira PBT… JKR… tidak. Perkara sudah pun berlaku, jadi tindakan kita adalah untuk menyelesaikn masalah itu dengan segera,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Aspirasi Pahang 1st di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar, di sini semalam.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan memastikan tindakan sewajarnya diambil oleh pihak berkaitan selain melaksanakan langkah pencegahan di kawasan yang dikenal pasti berisiko.
“Pihak Kerajaan Negeri tidak akan berdiam diri, kita terus ambil tindakan.
“Kita akan lihat pokok terbabit. Keutamaan (kepada) spot-spot tertentu… Pahang ini luas. Kita akan mendapatkan pandangan daripada pihak JKR, pejabat daerah dan kita akan ambil tindakan,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri akan memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga mangsa, khususnya anak Allahyarham Mohd Radzi Rahimi.
Katanya, setakat ini UMNO telah membantu menguruskan semua urusan pengkebumian, pengangkutan serta pengurusan jenazah mangsa yang terkorban.
“Setakat ini UMNO tampil ke depan, kita bantu semua urusan pengebumian, pengangkutan, urusan jenazah untuk empat keluarga, UMNO yang menyelesaikannya.
“Yang lain itu saya telah meminta YB Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin selaku Ketua UMNO Bahagian Maran, kerana Allahyarham merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, untuk melihat sepanjutnya dan membawa kepada Kerajaan Negeri. InsyaAllah, Kerajaan Negeri akan bantu,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

