Oleh : Zeti Akhtar Lokman
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 OGOS 2026 : Hasrat seorang pelukis cilik autistik ringan untuk bertemu YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail akhirnya menjadi kenyataan hari ini.
Adelia Azzahra Abdul Wafiy, 11, berpeluang menyerahkan sendiri lukisan potret pemimpin nombor satu negeri itu sempena Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar.
Adelia yang hadir ditemani bapanya, Encik Abdul Wafiy Abdul Ghafar, 39, dan ibunya, Puan Nur Amalina Othman, 36, mencuri perhatian pengunjung apabila menyiapkan potret berkenaan secara langsung di lokasi program sebelum menyerahkannya kepada Menteri Besar.
Pertemuan bermakna itu melengkapkan impian Adelia selepas bakat seninya mula menarik perhatian YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy menerusi hantaran sebuah lukisan di aplikasi Threads oleh ibunya sebelum ini.
Pujian yang diterima daripada YAB Menteri Besar bagi karya tular berkenaan menjadi pemangkin semangat untuk Adelia menghasilkan lukisan potret YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy yang pertama, sebelum menghasilkan potret kedua secara langsung pada hari ini.
Mula menunjukkan minat dalam bidang seni seawal usia empat tahun, Adelia sebelum ini lebih gemar melukis kartun, bangunan, serta pemandangan. Potret YAB Menteri Besar Pahang ini merupakan satu-satunya lukisan wajah manusia yang pernah dihasilkannya.
YAB Menteri Besar Pahang dalam pertemuan tersebut turut menyampaikan pujian dan mengagumi bakat serta ketelitian seni yang dimiliki adik Adelia. -PAHANGMEDIA

