Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 OGOS 2026 : Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan RM30,000 secara serta-merta bagi kerja-kerja membaik pulih Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar di sini, susulan keadaan jeti berkenaan yang didapati kurang selamat dan memerlukan tindakan segera.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelulusan itu dibuat selepas beliau sendiri meninjau keadaan jeti berkenaan ketika menghadiri siri Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura yang berlangsung di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar, di sini hari ini.

“Ya, itu diluluskan serta merta kerana tengok keadaannya tidaklah begitu baik, tidak begitu selamat dan perlu dibaiki.
“Tadi Tok Empat minta RM30,000 jadi Tok Wan luluskan RM30,000 untuk repair (baikpulih),” katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan.
Siri jelajah itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan Sharif; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, barisan ketua jabatan negeri serta kepimpinan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, bersempena siri jelajah berkenaan, beliau berpeluang meninjau kawasan sekitar Sungai Belat dengan menaiki bot sebelum beramah mesra dengan penduduk bagi mendengar sendiri isu dan keperluan yang dihadapi masyarakat.
Menurutnya, pendekatan turun padang itu membolehkan Kerajaan Negeri memahami situasi sebenar rakyat sekali gus mempercepatkan penyelesaian terhadap isu yang dibangkitkan.
“Tok Wan ucapkan terima kasih kepada sahabat Tok Wan, Dato’ Sri Shafik kerana telah membawa ‘round’ kawasan ini dengan menaiki bot dan dapat melihat alam sekelilingnya yang begitu menarik, menawan tetapi dalam masa yang sama juga dapat mendengar sendiri permasalahan rakyat.

“Ada yang boleh diluluskan serta-merta dan ada yang perlu dikaji dan meminta jabatan-jabatan berkaitan untuk meneliti sekiranya wajar dipertimbangan untuk diluluskan, InsyaAllah mereka akan luluskan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Belukar atas sambutan dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.
“Terima kasih kepada semua penduduk di sini kerana memberi respon yang sangat baik dan yang mengaturnya… Dato’ Sri Shafik, saya lagi sekali ucapkan terima kasih terutamanya kerana menyediakan jamuan makan di atas rakit yang sangat istimewa,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

