Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 OGOS 2026 : Seramai 44 penerima terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan individu menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM245,180 hari ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan yang disalurkan itu adalah hasil pengurusan kewangan negeri yang cekap serta kestabilan politik yang dinikmati Pahang, sekali gus membolehkan kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Semua ini adalah sumbangan Kerajaan Negeri. Kita dapat menyalurkan bantuan ini kerana pengurusan kewangan negeri yang baik. Selain itu, kestabilan politik yang dinikmati membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan negeri serta membantu rakyat.
“Apabila negeri berada dalam keadaan aman dan makmur, kita dapat melaksanakan pembangunan serta membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri yang berlangsung di Lobi Utama, Majlis Bandaraya Kuantan, di sini.
Beliau turut mengingatkan semua penerima supaya memanfaatkan sumbangan yang diterima dengan penuh amanah kerana peruntukan tersebut merupakan wang rakyat yang perlu digunakan untuk tujuan yang sewajarnya.
“Gunakan peruntukan sumbangan ini dengan sebaik-baiknya. Jangan disalahgunakan kerana ini adalah wang rakyat dan ia perlu dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Sumbangan yang disalurkan meliputi pelbagai bentuk bantuan termasuk kepada mangsa rumah terbakar, sokongan kepada persatuan dan NGO, selain pembelian komputer riba serta keperluan lain yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Majlis penyampaian sumbangan itu turut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara menerusi pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif yang memberi impak langsung kepada masyarakat. -PAHANGMEDIA

