Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 05 OGOS 2026 : Program Jelajah Aspirasi Pahang 1st Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura petang ini menyaksikan barisan pimpinan Kerajaan Negeri turun padang mendekati rakyat menerusi pelbagai aktiviti berteraskan kebajikan, pembangunan komuniti, pendidikan, alam sekitar, keusahawanan dan kesejahteraan masyarakat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dijadual mengadakan lawatan ke Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar bagi meninjau keadaan jeti nelayan yang uzur selain menyantuni komuniti setempat melalui sesi minum petang bersama nelayan.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Abd. Razak akan melawat projek tanaman edamame di Permatang Lawang, manakala Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad mengetuai aktiviti pembersihan Tapak Perkuburan Baharu Taman Seri Inderapura.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula akan meninjau cadangan pembinaan rumah pembersihan sampah sungai di Jeti Bunut Rendang, manakala Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim akan meneliti keperluan pembinaan pintu air di Kampung Razali serta sistem perparitan di Kampung Kurnia.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Mohamad Najib dijadual menyampaikan sumbangan peralatan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan akan menziarahi pesakit kronik serta menyampaikan sumbangan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Taman Guru.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal pula menyertai aktiviti ‘brisk walk’ dan ‘plogging’ bersama Belia 4B Kampung Cempaka, manakala Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang mengadakan lawatan kebajikan kepada tiga pesakit di sekitar DUN Inderapura.
Turut menyertai jelajah ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man yang akan menyampaikan sumbangan kepada Tabika Perpaduan Inderapura 1 dan 2 bagi pembelian penghawa dingin serta peti ais.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam pula dijadual melawat perusahaan batik Kampung Cherok Paloh, tapak koperasi kampung melibatkan pemprosesan santan dan tanaman cili, sebelum mengadakan sesi sembang santai bersama ahli koperasi.
Penganjuran Jelajah Aspirasi Pahang ini membuktikan komitmen barisan pimpinan Kerajaan Negeri untuk terus mendekati rakyat, memahami keperluan sebenar di peringkat akar umbi serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat diberi perhatian melalui kerjasama erat antara pemimpin, agensi kerajaan dan komuniti setempat. -PAHANGMEDIA

