Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
BERA, 28 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperkenalkan satu lagi inisiatif baharu iaitu Sumbangan Kebajikan Kematian Kepada Waris, sebagai usaha memperkukuh agenda kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, inisiatif itu membolehkan waris yang kematian ahli keluarga mendapat bantuan sewajarnya dengan syarat memaklumkan kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan masing-masing.
“Kerajaan Negeri mengumumkan satu perkara baharu iaitu Sumbangan Kebajikan Kematian kepada Waris yang kematian ahli keluarga.
“Cuma waris perlu memaklumkan kepada Pejabat ADUN kawasan masing-masing bagi membolehkan urusan penyaluran bantuan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan DUN Guai di Pusat Komuniti Kampung Mengkarak, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, seramai 50 pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai menerima Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan yang disampaikan oleh beliau.
Beliau berkata, penyerahan kali kedua itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pesara Polis Daerah Bera yang dipengerusikan oleh Encik Aliff sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan bekas anggota polis yang telah berkhidmat kepada negara.
“Hari ini saya bersama Persatuan Pesara Polis Daerah Bera yang dipengerusikan oleh Encik Aliff bagi menyerahkan Kad Kesihatan Kasih Makmur kali kedua kepada ahli persatuan ini.
“Setakat ini, pemegang Kad Kesihatan Kasih Makmur dalam kalangan persatuan ini adalah kira-kira seramai 50 orang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus menambah baik pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan manfaat yang disediakan dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat Pahang, selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Majlis tersebut turut menjadi platform penghargaan kepada bekas anggota PDRM atas jasa serta pengorbanan mereka, selain mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial menerusi Inisiatif Makmur Pahang. -PAHANGMEDIA

