Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 JULAI 2026 : Pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Diraja menjadi pemangkin semangat kepada Encik Teo Wei Sing untuk terus memperjuangkan pemartabatan bahasa dan sastera Melayu di peringkat negeri dan negara.
Menurut beliau, anugerah tersebut merupakan satu penghargaan bermakna terhadap usaha berterusannya dalam bidang bahasa dan sastera, sekali gus membuktikan penguasaan bahasa kebangsaan mampu menjadi pemangkin kejayaan tanpa mengira latar belakang.
“Anugerah ini merupakan satu penghargaan kepada perjuangan saya dalam liku-liku bahasa dan sastera. Saya berhasrat mematahkan stereotaip bahawa masyarakat Tionghua juga mampu menguasai bahasa kebangsaan dengan baik, malah bahasa Melayu boleh menjadi asas kejayaan dalam kerjaya.
“Hari ini, hasrat tersebut tercapai apabila perjuangan saya diiktiraf. Saya berasa terharu, gembira dan bangga kerana tidak pernah menyangka berpeluang menerima anugerah berprestij ini,” katanya.
Beliau sebelum ini mencatat sejarah sebagai penulis berbangsa Cina pertama dan anak Pahang pertama yang dianugerahkan dua gelaran serentak, iaitu Munsyi Dewan (Bahasa) pada tahun 2021 dan Munsyi Dewan (Sastera) pada tahun 2022.
Kredibilitinya dalam dunia sastera tanah air turut terserlah apabila karya puitisnya bertajuk Erti Hidup Bererti dipilih sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Lima, sekali gus menjadi rujukan utama pelajar sekolah menengah di seluruh negara.
Selain menghasilkan 14 buah buku puisi dan dua buah novel, beliau turut menyumbang dalam bidang pendidikan melalui penerbitan 124 buah buku rujukan, buku kerja dan buku latihan yang digunakan secara meluas di sekolah menengah.
Menurutnya, kejayaan yang diraih bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya didorong oleh sokongan pelbagai pihak terutama keluarga dan rakan sekerja.
“Anugerah ini bukan milik saya seorang. Walaupun nama saya diumumkan, hakikatnya ramai yang menyumbang kepada kejayaan ini. Ibu bapa, mentua, isteri dan anak-anak merupakan sumber kekuatan utama saya.
“Selain itu, ketua jabatan, ketua unit serta rakan sekerja sentiasa memberi sokongan penuh. Saya dedikasikan anugerah ini kepada mereka semua,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat agar terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi asas penyatuan rakyat berbilang kaum.
“Sebagai warganegara, kita perlu menggalas tanggungjawab asas untuk menguasai bahasa Melayu. Melalui bahasa kebangsaan, kita dapat mengeratkan ukhuwah antara kaum serta memupuk perpaduan dan persefahaman.
“Berkhidmatlah dengan penuh keikhlasan dan jadikan khidmat bakti sebagai wadah perjuangan demi anak bangsa,” katanya. -PAHANGMEDIA

