Oleh : Aimi Syafiqa Khairi, Ummul Qistina Sofea, & Zeti Akhtar Lokman
KUANTAN, 10 JULAI 2026 : Pengiktirafan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026 menjadi pemangkin para penerima untuk terus memperkasa pembangunan belia, keusahawanan dan khidmat masyarakat di negeri ini.
Penerima Anugerah Kategori Khas Tokoh Belia, Puan Rosinayati Yahya berkata pengiktirafan tersebut membakar semangat beliau untuk meneruskan pelbagai program pembangunan masyarakat termasuk pemerkasaan mualaf, belia agama dan wanita di negeri ini.

Katanya, kejayaan tersebut merupakan satu rezeki yang tidak pernah disangka, sekali gus menjadi penghargaan bermakna atas segala usaha dan khidmat yang telah dicurahkan.
“Saya berasa amat bersyukur terhadap Allah SWT, ini semua rezeki saya, rezeki anak-anak dan rezeki yang saya sendiri tak sangka. Sebelum-sebelum ini saya tengok orang yang dapat, Alhamdulillah.
“Saya sangat bersyukur dapat berkhidmat di Negeri Pahang apatah lagi di bawah kepimpinan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. InsyaAllah saya akan bantu untuk negeri ini.
“… dan InsyaAllah pada Ogos ini saya ada program dengan mualaf dan perkasa belia agama di Cameron Highlands. Kemudian terus ke Program Wanita Cinta Al-Quran di Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS),” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Khas Orang Kurang Upaya (OKU) Belia, Encik Muhammad Syawal Zahari, 27, berharap pengiktirafan yang diterimanya ini dapat menjadi inspirasi kepada golongan OKU untuk terus mencipta kejayaan.
Menurutnya, kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk mencapai satu impian, sebaliknya dapat menjadi satu cabaran bagi terus melakar kejayaan.
“Untuk para belia, terutamanya OKU, teruskan semangat. Jangan anggap kekurangan fizikal itu adalah satu halangan. Jadikan ia satu cabaran teruskan lagi mengejar cita-cita dan terus berjaya.
“Yang memberi sokongan adalah mak dan ayah saya kerana sentiasa mendoakan saya. Kemudian adik-adik saya dan juga kawan-kawan saya di sekolah dan belajar di UiTM serta kawan atlet saya, ahli persatuan dan Cikgu Uzairi yang sentiasa memberi semangat kepada saya,” katanya yang merupakan penuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Bagi Puan Wasifatuz Zahidah Abd Aziz, 27, dari Bera yang memenangi Anugerah Khas Usahawan Belia berkata kemenangan tersebut menjadi pembakar semangat untuk beliau terus mengembangkan perniagaan serta memberi inspirasi kepada golongan belia lain menceburi bidang keusahawanan.
“Saya rasa ini adalah sedikit sebanyak menjadi inspirasi untuk belia-belia lain yang berkecimpung dalam perniagaan untuk mereka tambah usaha.
“Kalau ikutkan pertandingan ini sangat sengit bagi saya sebab kita bertanding dengan orang yang dah memang establish tapi Alhamdulillah rezeki saya di sini, rezeki team belia daerah Bera juga, menang untuk bahagian kategori Anugerah Khas Usahawan Belia.
“Jangan pernah putus asa, teruskan usaha, tingkatkan usaha. InsyaAllah selagi mana kita teruskan usaha untuk berjaya, insyaAllah benda itu akan dipermudahkan,” katanya yang mengusahakan perkhidmatan pengurusan harta pusaka sejak 2021 dan produk sedia di makan (retort) sejak 2018. -PAHANGMEDIA

