Oleh : Ain Nadhirah Basha
Forto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 JULAI 2026 : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan peruntukan lebih RM7 juta bagi kerja menaik taraf beberapa fasiliti di Stadium Darul Makmur (SDM), di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, selain itu KBS turut meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kerja membaik pulih litar permotoran di Pekan.
“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa KBS telah bersetuju meluluskan peruntukan lebih RM7 juta bagi menaik taraf beberapa fasiliti di Stadium Darul Makmur, khususnya lampu limpah, tempat duduk serta kerja kalis air (waterproofing) yang telah lama kita mohon.
“Saya juga telah berhubung dengan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang dan dimaklumkan bahawa pihak JKR akan membuka tender pada hujung Julai ini.
“Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KBS atas kelulusan peruntukan RM500,000 bagi kerja membaik pulih litar drag di Pekan yang sememangnya dinantikan oleh golongan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang dan Majllis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tambah beliau, kerja naik taraf fasiliti stadium perlu dilaksanakan segera memandangkan kemudahan tersebut kini digunakan secara aktif oleh orang ramai bagi aktiviti riadah.
“Ketika ini kita mempunyai program ‘Stadium Run Culture’ yang menjadi fenomena setiap hari Rabu malam, bukan sahaja dalam kalangan penduduk Kuantan malah turut menarik penyertaan dari luar. Justeru, kita mahu kemudahan ini dibaik pulih dengan segera agar rakyat dapat menikmati fasiliti yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang dijangka mula beroperasi dan dibuka kepada orang ramai dalam tempoh sebulan lagi, setelah semua fasiliti berada dalam keadaan baik dan teratur.
Katanya, Kerajaan Negeri Pahang akan terus bekerjasama rapat dengan KBS serta mengadakan perbincangan berkala bagi memastikan golongan belia di negeri ini terus mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Rahimi Ismail dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud. -PAHANGMEDIA

