Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang hari ini.
Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam majlis sama turut berkenan mengurniakan lapan anugerah pada Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) Peringkat Negeri Pahang.

Mengiringi Tengku Mahkota Pahang, wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Pembinaan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang yang baharu dengan kos hampir RM30 juta ini merupakan sebuah kemudahan pembangunan belia dan sukan yang lebih moden serta komprehensif.

Ia dijangka dapat menjadi hab utama pelaksanaan program pembangunan belia, latihan kepimpinan, pembangunan kapasiti organisasi belia, aktiviti kesukarelawanan, pembangunan bakat sukan dan rekreasi, serta pelbagai program komuniti yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
Pembinaan dan pengoperasian kompleks ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam menyediakan infrastruktur yang berkualiti bagi menyokong pembangunan generasi muda yang berdaya tahan, berkemahiran, inovatif dan berintegriti.

Kemudahan kompleks yang terletak di tengah bandaraya Kuantan ini juga diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi yang menyokong aspirasi negeri ke arah melahirkan modal insan kelas pertama.
Kompleks yang siap dibina pada 9 Julai ini turut menempatkan pejabat pentadbiran, dewan, gelanggang badminton, gelanggang futsal, tapak sukan papan luncur, panjat tembok, padang bola sepak, trek sintetik, serta gelanggang pelbagai guna.
Turut disediakan di kompleks baharu ini adalah pusat kecergasan, gim, studio aerobik, blok penginapan termasuklah bilik penginapan Orang Kurang Upaya (OKU), bilik kuliah, dan auditorium. -PAHANGMEDIA

