Oleh: Syafiqah Jamaluddin
KUANTAN, 10 JULAI 2026 : Orang ramai dinasihatkan agar tidak terkeliru dengan maklumat yang tular di media sosial berhubung status Jambatan Burung Unta di Jalan Kuantan–Segamat kerana jambatan tersebut masih belum siap sepenuhnya dan masih berada dalam tempoh pembinaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali bin Kassim berkata, projek berkenaan kini berada di peringkat akhir, dengan kerja-kerja pembinaan dijangka siap mengikut tempoh kontrak pada penghujung Julai 2026.
Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Chini yang mendakwa jambatan itu telah siap sepenuhnya dan dibuka kepada semua pengguna adalah tidak tepat kerana masih terdapat beberapa kerja kecil yang sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan bahu jalan, longkang tepi jalan serta kerja-kerja kemasan di kedua-dua belah jambatan.
“Buat masa ini, hanya dua daripada empat lorong dibuka kepada pengguna. Dua lagi lorong masih ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan disiapkan dengan selamat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa bonggol yang dipasang di kawasan berkenaan bertujuan memperlahankan kelajuan kenderaan sekali gus menjamin keselamatan pekerja yang masih menjalankan kerja-kerja pembinaan di kiri dan kanan laluan.
Menurutnya, pembukaan sebahagian jambatan itu dibuat bagi membolehkan jambatan sementara jenis Bailey dibuka semula sebelum tamat tempoh kontrak projek.
“Jambatan baharu ini selamat digunakan oleh pengguna, namun kerja-kerja pembinaan masih berjalan. Sebab itu hanya dua lorong dibuka ketika ini,” katanya.
Sehubungan itu, semua pengguna Jalan Persekutuan FT12 yang melalui laluan berkenaan diminta mematuhi papan tanda amaran, mengurangkan kelajuan serta sentiasa berhati-hati sehingga keseluruhan projek siap sepenuhnya. -PAHANGMEDIA

