Oleh: Nur Saadah Artika
MARAN, 9 JULAI 2026 : Masjid At-Taqwa Felda Triang 3, Bera mengharumkan nama Negeri Pahang apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF) Kebangsaan Kategori Masjid 2026, sekali gus diiktiraf sebagai penerima Anugerah Masjid Cemerlang Tahun 2026.
Pengiktirafan tersebut diumumkan pada 6 Julai 2026 bersempena Sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan 2026 dan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Bandar Pusat Jengka, di sini.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Hajah Rubiah Haji Wang. Sebagai tanda penghargaan terhadap kecemerlangan yang dicapai, Masjid At-Taqwa Felda Triang 3 turut menerima wang tunai berjumlah RM10,000.

Antara aspek penilaian yang melayakkan masjid berkenaan menerima pengiktirafan tersebut termasuk tadbir urus yang berkesan, pengimarahan masjid, pendidikan Islam, dakwah, kebajikan, penjanaan ekonomi, pembangunan sahsiah serta penglibatan aktif masyarakat menerusi pelbagai aktiviti keilmuan, kerohanian, kesukarelawanan, sukan, rekreasi dan kemasyarakatan.
Masjid At-Taqwa Felda Triang 3 menerusi satu hantaran di Facebook melahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan izin-Nya sehingga kejayaan ini dapat direalisasikan.
“Penghargaan turut dizahirkan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan), Ahli Parlimen Bera, Ahli Dewan Negeri Kemayan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta Pejabat Agama Islam Daerah Bera (PAID Bera) atas sokongan, bimbingan dan kerjasama yang berterusan.
“Ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada FELDA, Felda Wilayah Mempaga, kepimpinan dan pengurusan Felda Triang 3, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid, para pegawai masjid, para asatizah, rakan sinergi daripada agensi kerajaan dan swasta, para penyumbang, sukarelawan serta seluruh komuniti yang sentiasa berganding bahu menjayakan usaha pengimarahan masjid,” menurut kenyataan itu.- PAHANGMEDIA

