Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
TEMERLOH, 9 JULAI 2026 : Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang menjadi platform penting dalam menghidupkan semula adat resam dan budaya masyarakat Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penganjuran karnival tersebut bukan sekadar mengisi aktiviti, malah bertujuan mendidik masyarakat ke arah kehidupan yang lebih berdisiplin dan teratur.

Menurut beliau, program seperti ini mampu menzahirkan semangat silaturahim dalam kalangan masyarakat selain memperlihatkan keunikan warisan tradisi penyediaan bubur asyura yang menjadi amalan masyarakat Melayu sejak dahulu.
“Melalui program ini, kita bukan sahaja menghidupkan adat resam yang berteraskan nilai keislaman, malah dapat mendidik masyarakat mengenai aspek penyediaan makanan yang bersih dan menepati konsep halalan tayyiban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Asyura Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur yang berlangsung di Dewan Terbuka Dataran Sri Ketumbit, Kerdau, hari ini.
Hadir sebagai wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti kemungkinan menambah jumlah penyertaan pada masa hadapan sekiranya terdapat keperluan.
“Penambahan penyertaan memerlukan perancangan rapi dari segi peruntukan serta penyediaan kemudahan yang lebih luas, justeru perkara ini perlu dikaji dengan teliti,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan penganjuran karnival ini pada tahun hadapan dengan membuka penyertaan kepada lebih banyak agensi dan masyarakat setempat.
Tambah beliau, edisi kali ini turut menampilkan kelainan menerusi penganjuran kenduri kampung serta program ziarah dari rumah ke rumah yang melibatkan kira-kira 70 buah kediaman di sekitar kawasan berkenaan.
“Pendekatan ini menghidupkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk, sekali gus mengukuhkan hubungan kejiranan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau tidak menolak potensi karnival tersebut untuk diketengahkan sebagai salah satu produk pelancongan negeri.
“Perkara ini boleh dibincangkan secara lebih menyeluruh dengan pihak berkepentingan bagi menjadikannya sebagai produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Negeri Pahang,” katanya.
Bagi kategori Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, Pejabat Agama Islam Daerah, Sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT), johan dimenangi oleh Kumpulan Badan Kebajikan dan Sukan Pekerja (BAKEP) Majlis Daerah Maran.
Manakala bagi kategori Agensi Swasta, NGO, Masjid Kariah dan Surau, kemenangan berpihak kepada Kumpulan Warisan Bonda. Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta plak dan sijil penyertaan.
Sebanyak 30 penyertaan diterima dalam karnival tahunan ini yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta. – PAHANGMEDIA

