Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 9 JULAI 2026 : Atlet terjun Pahang, Muhammad Afif Rayyan Mohd Shukri, 17, kini giat menjalani latihan intensif sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII 2026 dengan sasaran untuk menempatkan diri di podium.
Beliau berkata persiapan pasukan telah bermula sejak awal dengan jadual latihan yang padat iaitu enam hari seminggu, melibatkan sesi latihan pada waktu pagi dan petang bagi memastikan prestasi berada pada tahap terbaik menjelang temasya itu.
Menurutnya, beliau akan beraksi dalam acara papan anjal 1 meter dan 3 meter selain turut menyertai acara papan anjal 3 meter seirama lelaki.
“Biasa main event (acara utama) saya, 3 meter, tapi untuk SUKMA kali ni saya masuk 1 meter dengan 3 meter,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan kali ini merupakan penampilan keduanya di pentas SUKMA selepas gagal meraih sebarang pingat pada edisi di Sarawak.
Mengambil pengalaman lalu sebagai pembakar semangat, beliau meletakkan sasaran untuk menghadiahkan sekurang-kurangnya pingat buat kontinjen Pahang.
“Tahun ini, saya target medal, tapi medal warna apa itu tak pasti sebab setiap orang selalu ada target sendiri, kalau diberi peluang, memang gold lah,” katanya.
Seramai enam atlet akan mewakili kontinjen terjun Pahang pada SUKMA Selangor XXII 2026 dengan menyertai kesemua 12 acara yang dipertandingkan iaitu papan anjal 1 meter, papan anjal 3 meter, platform 10 meter, papan anjal 3 meter seirama, platform 10 meter seirama serta acara berpasukan bagi kategori lelaki dan wanita. – PAHANGMEDIA

