Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 06 JULAI 2026 : Kejayaan Koperasi Felda Chemomoi Berhad menerima Anugerah Koperasi Terbaik Rancangan Felda 2026 pada Anugerah Aspirasi Desa MADANI Tahun 2025 menjadi indikator kebersamaan di antara Kerajaan Negeri Pahang dan masyarakat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, ia juga membuktikan wujudnya keterlibatan semua pihak dalam membangunkan ekonomi koperasi.
“Dia bermula dengan kepimpinan terdahulu dan disambung hari ini. Kalau kita lihat daripada koperasi dari segi ekonomi, ini melambangkan kebersamaan semua generasi dan juga penglibatan daripada pihak Kerajaan Negeri hingga ke akar umbi untuk bersama.

“Inilah pengiktirafan dan Alhamdulillah Pahang antara penyumbang anugerah terbanyak pada tahun ini. Memang secara fizikalnya Kerajaan Negeri melaksanakan program dan disambut oleh warga seluruh Negeri Pahang dan ini adalah hasilnya.
“Inilah pengiktirafan yang tinggi yang memberikan pengiktirafan juga secara tidak langsung kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia (HPLBS) 2026 dan Anugerah Aspirasi Desa MADANI Tahun 2025 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Tambah beliau, kejayaan Koperasi Felda Chemomoi Berhad ini juga dapat menjadi pemangkin semangat kepada koperasi-koperasi lain di negeri ini khususnya untuk mencapai pengiktirafan dan kejayaan serupa.
“Dan ini melambangkan bahawasanya setiap koperasi itu boleh menjadi yang terbaik di Negeri Pahang.
“Hari ini, Koperasi Felda Chemomoi ini dah banyak perkara-perkara dan juga banyak pembaharuan-pembaharuan juga inovasi-inovasi yang telah dilaksanakan oleh mereka,” katanya. -PAHANGMEDIA

