Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
MARAN, 06 JULAI 2026 : Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia (HPLBS) 2026 dengan tema Arah Komuniti Luar Bandar yang Dinamik, Makmur dan Bahagia menjadi platform menghimpunkan pelbagai inisiatif strategik kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar.
Majlis yang julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu, Inovasi Komuniti, Pendigitalan Desa dan Sosioekonomi Desa sebagai pemacu kepada peningkatan kesejahteraan masyarakat serta pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Timbalan Perdana Menteri dalam majlis di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, turut melancarkan My Rural Insights (MRI) sebagai platform pengurusan ilmu kementerian dalam usaha memperkukuh budaya penggubalan dasar berasaskan bukti dengan konsep Satu Sumber, Pelbagai Impak yang menghimpunkan hasil penyelidikan dan analisis dasar bagi menyokong pembangunan luar bandar yang lebih mampan dan berimpak tinggi.
Selain itu, YAB Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2026 FELCRA Berhad berjumlah
RM126.91 juta yang meningkat sebanyak 7.67 peratus berbanding tahun sebelumnya yang turut membuktikan keberkesanan usaha memperkukuh produktiviti dan meningkatkan pulangan kepada peserta FELCRA.

Majlis ini turut menobatkan Kampung Desa Murni, Temerloh sebagai johan Anugerah Aspirasi Desa MADANI Tahun 2025 yang merupakan pengiktirafan tertinggi kepada kampung cemerlang dalam aspek tadbir urus, kepimpinan dan pembangunan komuniti.
Sebanyak 14 johan kampung peringkat negeri, melibatkan 13 kampung tradisional dan rumah panjang serta sebuah Kampung Orang Asli, telah dinilai di peringkat kebangsaan bagi mengiktiraf amalan terbaik yang boleh dicontohi dalam memperkasa komuniti luar bandar.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam. -PAHANGMEDIA

