Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 7 JULAI 2026 : Dua individu maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lipis–Benta, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.21 pagi.
Menurutnya, kemalangan berkenaan berlaku berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta dan melibatkan sebuah Proton Persona serta sebuah Toyota Hilux.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba mendapati seorang lelaki berada di luar kenderaan manakala seorang wanita tersepit di dalam Proton Persona.
“Dua lagi mangsa yang dipercayai pemandu dan penumpang Toyota Hilux telah dibawa ke Hospital Lipis sebelum ketibaan pihak bomba,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, petugas kesihatan yang berada di lokasi kemudiannya mengesahkan lelaki dan wanita berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Tambahnya, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan siasatan. – PAHANGMEDIA

