Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
BERA, 3 JULAI 2026 : “Untuk Kerajaan Negeri Pahang dan juga Tok Wan, terima kasih… dari awal kami terlibat kemalangan, sentiasa salurkan bantuan kepada kami berdua sehinggalah kami mampu berniaga seperti sekarang,” kata Nik Haziera Saffiya Nik Husmadi, 18.
Dia bersama kakaknya, Nik Haznita Saffiya, 20, merupakan dua beradik pengusaha Cendol Meleleh dari Kampung Seri Lebak, Temerloh yang sebelum ini tular kerana cekal meneruskan kehidupan dan menjana pendapatan sendiri meskipun kedua-duanya kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan dua tahun lalu.

Menurut Nik Haziera, keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bukan sahaja meringankan beban mereka, malah menjadi pembakar semangat untuk bangkit dan membina kehidupan baharu selepas kejadian.
Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan merupakan antara individu yang sentiasa mengikuti perkembangan mereka sejak tragedi itu berlaku dengan kerap menziarahi keluarga serta menyampaikan pelbagai bentuk bantuan.
“Untuk YB Dato’ Sabariah juga, memang dari awal kami kemalangan pun, memang sentiasa datang ke rumah, memberi dan menyalurkan bantuan. Kami sangat-sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, Tok Wan dan juga YB Dato’ Sabariah,” katanya ketika ditemui sempena Festival Budaya Rakyat Pahang di Dataran Kerayong, di sini, hari ini.

Mengulas tentang kaki palsu pula, Nik Haziera berkata, sebelum ini mereka ada menerima sumbangan kaki palsu dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), namun keadaan tunggul kaki yang pendek menyebabkan pemakaian alat tersebut kurang selesa dan menyakitkan, sekali gus menyebabkan mereka lebih bergantung kepada tongkat untuk bergerak.
Sementara itu, YB Dato’ Sabariah berkata, Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memantau perkembangan dua beradik berkenaan sejak mereka ditimpa kemalangan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela.

“Dan kita tahu, dua tiga hari ini viral pasal dia adik-beradik 2 orang adik beradik perempuan ini yang mana terlibat dalam kemalangan pada tahun 2004, maksudnya sudah dua tahun. Dan sebenarnya saya mengikuti rapat perkembangan mereka ini, tapi cuma biasalah tidak war-warkan.
“Dan kita juga ada memanggil beberapa agensi untuk membantu. Selain daripada itu yang paling penting daripada negeri memang membantulah,”katanya memaklumkan kedua-dua mereka kini turut menerima Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) daripada JKM.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut mengambil maklum hasrat dua beradik itu untuk memiliki sebuah premis perniagaan sendiri dan perkara tersebut akan diperhalusi bersama pihak berkaitan.
“Ya insyaAllah dan saya sepatutnya hari ini hadir bersama dengan YB Dato’ Amizar Abu Adam (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang) tetapi beliau ada program lain, InsyaAllah mungkin di lain masa dan YAB. Menteri Besar juga berhasrat untuk menziarah mereka ini, kita tengoklah apa yang boleh di bantu oleh Kerajaan Negeri nanti dan saya pasti, mesti ada (bantuan),” katanya lagi.
Mengulas mengenai festival itu, YB Dato’ Sabariah berkata penganjuran Festival Budaya Rakyat Pahang yang berlangsung bermula hari ini sehingga Ahad diisi dengan pelbagai aktiviti siang dan malam termasuk persembahan artis tempatan, khususnya penggiat seni budaya dari Bera dan Temerloh.
“Dan tujuan festival ini adalah untuk mengangkat kembali budaya-budaya. Mungkin ada yang lupa, mungkin ada yang tak pernah mengalami ataupun mengikuti perkembangan budaya negeri Pahang ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

