Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 2 JULAI 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang di sini hari ini bagi mendengar persembahan Taklimat Pembangunan Kawasan Tanah Terbiar Negeri Pahang.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak serta Pengarah PTG Pahang, YH Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar.
Paduka Baginda bertitah supaya semua tanah terbiar di negeri ini dikenal pasti dan dibangunkan secara produktif bagi menjana hasil ekonomi serta menjamin keselamatan makanan.

Titah Paduka Baginda, pembangunan tanah berkenaan perlu melibatkan tanah milik persendirian mahupun tanah kerajaan dengan memberi keutamaan kepada sektor yang mampu menyumbang kepada ekonomi negeri.
“Hasrat saya datang ke sini untuk mendengar sedikit sebanyak berkaitan dengan pentadbiran tanah. Saya nak sentuh pertama sekali berkaitan pembangunan tanah terbiar.
“Saya akan berucap dalam ini. Semua tanah yang terbiar dan tidak diusahakan hendaklah dikenal pasti serta dibangunkan secara produktif, melibatkan tanah milik persendirian mahupun tanah kerajaan.
“Keutamaan diberikan kepada sektor yang mampu menjana hasil dan menjamin keselamatan makanan seperti kelapa sawit, kelapa, padi, buah-buahan serta tanaman bernilai tinggi,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda juga bertitah, Pahang yang memiliki keluasan kira-kira 3.6 juta hektar tanah mempunyai potensi besar untuk dimajukan dan adalah sesuatu yang merugikan sekiranya masih terdapat kawasan yang tidak diusahakan.
“Seharusnya kita bertuah kerana Negeri Pahang begitu besar dengan keluasan kira-kira 3.6 juta hektar tanah.
“Namun, terdapat juga tanah-tanah yang telah diberikan hak milik oleh kerajaan tetapi masih terbiar. Di sinilah saya harap istilah tanah terbiar ini ditukar kepada tanah pembangunan, walau dalam apa bentuk sekalipun,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut mengingatkan supaya tanah yang telah diberikan hak milik tidak dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sehingga merugikan negeri dan rakyat.
“Saya tidak mahu melihat tanah terbiar ini terus kekal sehingga satu generasi ke generasi berikutnya tanpa dimajukan. Saya faham kerajaan bertanggungjawab untuk memberi hak milik, tetapi jika tidak dimajukan dan tidak membayar cukai berkaitan, ia tidak membawa makna.
“Kajilah sebaik-baiknya supaya ia menjadi situasi menang-menang untuk negeri dan rakyat. Setiap inci tanah yang ada boleh diusahakan kerana seluruh negeri ini mempunyai potensi yang sangat besar,” titah Paduka Baginda. – PAHANGMEDIA

