Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN 4 JULAI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperluaskan jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa menerusi sesi libat urus bersama Kedutaan negara-nrgata Arab bagi meneroka peluang dalam sektor pelaburan dan pelancongan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, sesi pembentangan tersebut memberi tumpuan kepada peluang pelaburan di negeri ini serta potensi kolaborasi dalam sektor pelancongan.

“Pembentangan hari ini menyentuh mengenai peluang-peluang pelaburan di Negeri Pahang, selain potensi kolaborasi dalam sektor pelancongan.
“Sambutan daripada para duta, Alhamdulillah, sangat memberangsangkan dan mereka juga menunjukkan minat yang tinggi untuk menjalinkan kolaborasi dengan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Taklimat Eksekutif Program Kunjungan Duta-Duta Negara Arab ke Negeri Pahang di Hotel Zenith Kuantan, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), YH Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.
Tambahnya, terdapat pelbagai peluang kerjasama yang boleh diterokai khususnya dalam sektor pelaburan dan pelancongan yang berpotensi memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Ada banyak peluang kolaborasi, antaranya dalam bidang pelancongan kesihatan (medical tourism) yang masih baharu dan berpotensi untuk diperkukuh.

“Mereka juga berminat untuk meneliti peluang pembangunan resort pelancongan berteraskan kesihatan, selain pakej pelancongan bersepadu yang boleh ditawarkan kepada pelancong.
“Dalam sektor pelaburan pula, terdapat minat untuk meneroka kerjasama berkaitan pembangunan lapangan terbang baharu di Pahang, bukan sahaja dari aspek pembinaan, malah melibatkan komponen lain seperti industri angkasa, pusat data (data center), mobiliti maju (advanced mobility) dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengetengahkan keupayaan penyelidikan dan inovasi dua institusi pengajian tinggi terkemuka di Negeri Pahang, iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Kita juga mengetengahkan dua universiti tersohor di Negeri Pahang iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang telah berkongsi hasil kajian mereka.
“Antaranya termasuk hasil hak intelektual seperti teknologi pengecas kenderaan elektrik (EV charger) dan teknologi Frozen Zoo yang mengekalkan sel-sel haiwan terancam seperti badak Sumatera dan lain-lain,” katanya.
Di samping itu, beliau berharap kolaborasi ini dapat menjalinkan hubungan yang lebih kukuh antara Negeri Pahang dan delegasi tersebut, sekali gus mewujudkan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang.
“Kita berharap dapat mewujudkan rangkaian serta hubungan yang erat dengan negara-negara ini supaya kedua-dua pihak dapat meraih manfaat yang besar daripada jalinan persahabatan ini,” katanya.
PAHANGMEDIA

