Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 02 JULAI 2026 : Ekonomi Pahang terus mencatatkan pertumbuhan positif apabila nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini meningkat kepada RM71 bilion pada 2025 berbanding RM68.8 bilion pada 2024.
Ia berdasarkan laporan KDNK Mengikut Negeri 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam.
Peningkatan itu disokong oleh pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.2 peratus. Sektor perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama ekonomi negeri dengan mencatatkan pertumbuhan lima peratus, sama seperti tahun lalu.
Prestasi sektor tersebut didorong oleh perkembangan kukuh subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, selain perkhidmatan kerajaan.
Sementara itu, sektor pembuatan berkembang 1.4 peratus berbanding 3.5 peratus pada 2024, dipacu oleh subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang merupakan penyumbang terbesar kepada sektor berkenaan dengan pertumbuhan sederhana 1.1 peratus.
Pada masa sama, sektor pertanian turut merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 2.7 peratus, walaupun lebih perlahan berbanding 9.3 peratus pada tahun sebelumnya dengan subsektor tanaman sebagai penyumbang utama.
Bagaimanapun, sektor pembinaan menguncup 5.3 peratus selepas berkembang 8.6 peratus pada 2024 berikutan kemerosotan ketara dalam subsektor kejuruteraan awam yang susut 28.3 peratus.
Namun begitu, pertumbuhan dua digit yang dicatatkan oleh subsektor pembinaan bangunan serta aktiviti pembinaan pertukangan khas berjaya mengurangkan impak kemerosotan keseluruhan sektor pembinaan. – PAHANGMEDIA

