Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 02 JULAI 2026 : Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal menafikan penglibatannya dengan beberapa akaun media sosial menggunakan nama, gambar dan identiti beliau tanpa kebenaran.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebooknya, beliau menegaskan bahawa akaun-akaun tersebut bukan miliknya dan beliau tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti atau komunikasi yang dilakukan pihak terbabit.
“Saya ingin menegaskan bahawa akaun-akaun tersebut bukan milik saya dan saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang aktiviti atau komunikasi yang dijalankan oleh pihak berkenaan.
“Berikut merupakan akaun media sosial rasmi saya, antaranya Facebook (Fadzli Kamal); TikTok (@fadzlikamal06); Instagram (@fadzlikamal_); dan Threads (@fadzlikamal_). Sebarang akaun selain daripada yang dinyatakan di atas adalah bukan akaun rasmi saya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai supaya tidak melakukan sebarang interaksi dengan akaun palsu berkenaan.
“Saya memohon kerjasama orang ramai untuk tidak berinteraksi dengan akaun palsu tersebut; tidak memberikan sebarang maklumat peribadi atau membuat sebarang transaksi; membuat laporan (report) kepada platform media sosial berkenaan; dan memaklumkan kepada saya atau pihak pejabat sekiranya menemui akaun yang menyamar menggunakan identiti saya,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada serta mengamalkan budaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat terlebih dahulu sebelum mempercayai dan berkongsikannya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai sebarang mesej, permintaan, tawaran atau pautan daripada akaun-akaun tersebut, khususnya yang melibatkan wang, maklumat peribadi atau urusan lain yang meragukan.
“Semoga kita terus mengamalkan budaya semak dahulu sebelum percaya dan berkongsi, serta hanya merujuk kepada akaun media sosial rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat,” katanya. -PAHANGMEDIA

