Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : JBPM Pahang
KUANTAN, 02 JULAI 2026 : Sebuah premis jualan barangan harian Eco Save di Kampung Padang di sini, mengalami kebakaran awal pagi ini sehingga mengakibatkan kira-kira 53 peratus daripada keseluruhan bangunan berkeluasan 2,596 meter persegi musnah dalam kejadian tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, PgKB I Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.56 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira tujuh minit kemudian.
Katanya, operasi pemadaman diketuai PBK I Rosli Daud dengan bantuan anggota dari BBP Kuantan, BBP Taman Tas dan BBP Gebeng melibatkan keseluruhan 22 anggota bersama lima jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Water Tender (WT) dan Sitrak.
“Setibanya di lokasi, anggota bomba menjalankan kerja pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 100 kaki dengan satu cabang pembahagi dan dua nozel, manakala pasukan bantuan dari BBP Kuantan melakukan pemadaman di bahagian belakang premis menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu cabang pembahagi dan dua nozel.
“Kebakaran melibatkan bangunan kedai Eco Save berkeluasan 118 x 22 meter dengan anggaran keluasan yang terjejas sebanyak 53 peratus. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 7.18 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, operasi pemadaman dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan ketika ini bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. -PAHANGMEDIA

