Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 23 JUN 2026 : Program Ziarah Kasih yang telah dilaksanakan oleh Dewan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah penuh dengan perkongsian pengalaman serta nilai kepimpinan daripada mantan wakil rakyat yang pernah mencurahkan khidmat kepada Negeri Pahang Darul Makmur.
Program yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin itu turut disertai Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen.
Kunjungan pertama diadakan ke pejabat mantan ADUN Peramu Jaya, YB Dato’ Sri Sh Mohamed Puzi Sh Ali di UniKL, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, beliau menyatakan penghargaan terhadap pelaksanaan Program Ziarah Kasih yang disifatkan sebagai satu inisiatif murni dalam menghargai jasa bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat kepada negeri dan rakyat.
“Program seperti ini amat baik kerana menunjukkan tanda ingatan dan penghargaan kepada bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat kepada negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman serta pengajaran hidup yang diperoleh sepanjang perjalanan kerjaya dalam perkhidmatan awam dan politik.
“Kadang dalam hidup ini ada benda yang kita hendak tak dapat, yang kita tak hendak itu yang datang,” katanya ketika berkongsi pandangan mengenai cabaran dan ketentuan hidup.

Program kemudiannya diteruskan dengan kunjungan ke Pejabat Parlimen Malaysia untuk melawat mantan ADUN Semambu, YB Lee Chean Chung dan juga mantan ADUN Padang Tengku, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad.
YB Lee Chean Chung yang kini berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, program ini adalah sebagai satu usaha yang memberi pengalaman nostalgik kepada bekas-bekas wakil rakyat.
“Saya nampak inisiatif ini memberi satu pengalaman yang sangat nostalgik kepada mantan-mantan ADUN kerana tidak kira daripada parti mana, kaum mana dan latar belakang yang berbeza, sentimen yang dikongsi adalah semuanya pernah berkhidmat dan berbakti untuk negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan semangat kerja berpasukan dalam institusi Dewan Undangan Negeri meskipun terdapat perbezaan ideologi politik.
“Walaupun parti berbeza, semuanya mempunyai niat yang sama iaitu untuk pembaikan dan pembangunan negeri Pahang. Nilai yang dibawa juga adalah nilai kasih dan budi di mana kita tidak melupakan jasa dan sumbangan ADUN-ADUN yang pernah berkhidmat,” katanya.

Sementara itu, mantan ADUN Padang Tengku, YB Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan juga beliau mengimbau pengalaman sepanjang bergelar wakil rakyat, pelbagai peluang diperoleh untuk membantu pembangunan negeri menerusi peranan yang pernah disandang di peringkat Persekutuan.
“Sepanjang saya pernah menjadi ADUN, saya sangat gembira dan banyak perkara dapat dibantu untuk Kerajaan Negeri Pahang sama ada ketika berada di PETRA, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Sumber Manusia mahupun Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya.
Program Ziarah Kasih Bekas ADUN dilihat bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada jasa pemimpin terdahulu, malah menjadi medium perkongsian pengalaman, pengukuhan silaturahim serta pemindahan nilai kepimpinan yang boleh dijadikan inspirasi kepada generasi pemimpin masa kini. -PAHANGMEDIA

