Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 23 JUN 2026 : Kerajaan Pahang akan membangunkan fasiliti Pengurusan Sisa Kepada Tenaga (WtE) pertama di tapak seluas 70 hektar di Gebeng selari dengan perancangan pengurusan sisa pepejal di Negeri Pahang sehingga tahun 2040.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, daripada jumlah itu, tanah seluas 32.37 hektar akan diberikan keutamaan bagi pembinaan Tapak Pelupusan Sampah Kuantan.

“Hari ni kita mengadakan lawatan ke Gebeng untuk melihat sendiri cadangan untuk kerajaan negeri melaksanakan Waste to Energy Plant dan juga untuk melihat tapak pelupusan sementara tapak pelupusan sampah di Jabor-Jerangau.
“Setakat ini, kawasan yang telah kita kenal pasti adalah seluas 110 hekar, termasuklah tapak perlupusan sementara seluas 80 ekar. Dan kita mengambil masa untuk membina waste-to-energy ini mengambil masa lima hingga enam tahun.
“Sudah tentu kita memerlukan satu kawasan baru untuk tapak perlupusan sementara memandangkan tapak Jabor-Jerangau ini sudah sampai ke tahap maksima dan kita memerlukan satu tapak baru untuk memastikan segala kumpulan sampah dalam bandaraya ini dapat kita mitigasi dengan cara yang sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata tapak WtE yang bakal dibina ini juga dapat menampung sehingga 1,000 tan sisa buangan sehari dan Kerajaan Negeri turut bercadang untuk membina sebuah lagi fasiliti sama di Temerloh.
“Dan kita cadangkan plant yang ini adalah 1,000 tan sehari. Walau bagaimanapun sekarang di Kuantan sahaja, 600 tan. Sampah-sampah lain itu kita juga akan ambil daripada Rompin, daripada Pekan untuk bersama dengan WtE di Gebeng.
“Dan ini sudah tentu akan memberikan satu pendekatan baru kepada sistem perusahaan sampah di Pahang apatah lagi Kerajaan Negeri pada umumnya mencadangkan pada 2030 nanti adalah negeri hijau karbon.
“Inilah satu usaha untuk memastikan kenapa kita bina WtE ini sebabnya dari segi sudut perlepasan gas apabila kita sudah masuk dalam plant tersebut, ataupun loji tersebut, perlepasan gas beracun ini boleh dikatakan zero, dan WtE ini kita akan laksanakan di dua tempat di Pahang, termasuk di Temerloh, dan juga di tempat-tempat lain, sebagai satu pusat untuk sebagai feeder station untuk feedkan sampah-sampah kepada loji WtE yang akan dibina kelak,” katanya.
Perancangan pengurusan sisa pepejal di Negeri Pahang sehingga tahun 2040 turut melibatkan pembangunan pelbagai fasiliti strategik termasuk Loji Waste-to-Energy (WtE), stesen pemindahan sisa, tapak pelupusan baharu, kerja naik taraf tapak pelupusan sedia ada, serta loji rawatan termal.
Menurut beliau pelaksanaan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memperkukuh sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik, mampan dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat ke tapak cadangan pembangunan Fasiliti Pengurusan Sisa Pepejal (PSP) Kuantan di Jalan Bypass Gebeng hari ini.
Turut hadir, YBhg. Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Dr. M. Noor Azman Taib; dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), YBhg. Dato’ Ir. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid. -PAHANGMEDIA

