Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 JUN 2026 : Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad (KPKP) membuktikan gerakan koperasi mampu terus berkembang, kekal relevan dan mendapat kepercayaan anggota apabila berjaya mencapai usia 100 tahun sejak penubuhannya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana banyak organisasi dan koperasi gagal bertahan sehingga separuh daripada tempoh berkenaan.

Katanya, kejayaan KPKP mencapai usia satu abad dalam keadaan kukuh membuktikan organisasi itu dibina berasaskan nilai amanah, integriti dan semangat kebersamaan yang tinggi.
“Bukan mudah untuk sesebuah organisasi mencapai 100 tahun, apatah lagi untuk sampai ke usia satu abad dalam keadaan yang kukuh, dan ianya terus berkembang dan kekal serta mendapat kepercayaan anggotanya.

“Ada koperasi tidak samoai 50 tahun sudah jatuh, tetapi koperasi tuan-tuan dan puan-puan mencapai 100 tahun,” katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Malam Sempena Sambutan 100 Tahun KPKP di Zenith Hotel Kuantan di sini malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam serta barisan kepimpinan dan anggota KPKP.

YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, sambutan ulang tahun tersebut bukan sekadar majlis makan malam biasa, sebaliknya medan menghargai jasa generasi terdahulu yang membina asas kukuh koperasi untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Tambahnya, pencapaian KPKP juga amat membanggakan apabila koperasi itu kini berada di kedudukan kedua terbaik di Pahang serta menduduki tangga ke-25 dalam senarai 100 koperasi terbaik di Malaysia.

Beliau dalam pada itu berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan gerakan koperasi sebagai sebahagian daripada agenda memperkukuhkan ekonomi Pahang yang kini terus menunjukkan perkembangan positif hasil kemasukan pelaburan dalam sektor pembuatan, logistik, industri halal, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan dan ekonomi berasaskan teknologi.
Menurutnya lagi, pelaksanaan Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang 2025-2030 (PET30), projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembangunan Pelabuhan Kuantan, kawasan industri baharu serta pelbagai inisiatif di bawah Aspirasi Pahang 1st akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat, dengan koperasi berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pertumbuhan ekonomi negeri dengan kesejahteraan masyarakat. -PAHANGMEDIA

