Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
RAUB, 20 JUN 2026 : Penganjuran Cabaran Mendaki 11 Puncak Peringkat Negeri Pahang 2026 dilihat sebagai platform memperkenalkan lebih banyak bukit dan gunung di Pahang kepada masyarakat sekali gus membantu merancakkan ekonomi komuniti setempat menerusi aktiviti pelancongan rekreasi.
Pada majlis perasmian yang telah diadakan di Masjid Tengku Abdullah Al-Haj, Kampung Gali Tengah Raub, hari ini telah menghimpunkan seramai 200 peserta untuk mendaki Bukit Serdam di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, cabaran mendaki 11 puncak itu merupakan susulan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika ekspedisi pendakian Gunung Tahan tahun lalu.
“Cabaran mendaki 11 puncak ini sebenarnya adalah merupakan titah KDPB Sultan Pahang semasa kami mendaki Gunung Tahan tahun lalu semasa kepulangan team rekreasi.
“Tuanku bertitah untuk cuba mendaki gunung di Pahang ini saya tak pasti berapa gunung di Pahang ini tapi kita cuba untuk daki bukit dulu dan seterusnya kita adakan pula program-program untuk daki gunung di Pahang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Cabaran Mendaki 11 Puncak Peringkat Negeri Pahang 2026 disini, hari ini.
Menurut beliau, program tersebut dianjurkan bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat selain mengetengahkan lokasi-lokasi pendakian yang masih kurang dikenali.
“Kenapa kita daki bukit atau gunung ini adalah yang pertamanya kita nak galakkan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negeri Pahang.
“Seterusnya kita nak popularkan lokasi-lokasi gunung ataupun bukit yang ada di Pahang ini.
“Banyak sebenarnya bukit dan gunung yang menarik yang belum diterokai contohnya Bukit Serdam ini, kewujudannya orang Raub pun tak tahu,” katanya.

Beliau berkata, beberapa lokasi rekreasi yang pernah diketengahkan sebelum ini telah mula menerima kehadiran lebih ramai pengunjung dan pendaki.
“Beberapa bulan yang lalu kita popularkan Bukit Batu Panas, awan karpet di Ulu Dong sekarang ni dah ramai dah.
“Selepas ini semoga Bukit Serdam ini pun akan ramai sebabnya ia ada keunikannya yang tersendiri,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran lebih ramai pengunjung ke lokasi rekreasi alam semula jadi mampu memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.
“Apabila ramai orang datang mendaki secara tak langsung kita dapat rancakkan ekonomi di kawasan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri Pahang merancang untuk menganjurkan program pendakian khas melibatkan agensi kerajaan ke Gunung Irau dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang sempena memuliakan Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
Cabaran Mendaki 11 Puncak Peringkat Negeri Pahang 2026 merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam mempromosikan destinasi rekreasi berasaskan alam semula jadi yang berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu selain membantu meningkatkan aktiviti ekonomi komuniti setempat. -PAHANGMEDIA

