Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 20 JUN 2026 : Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) terus merekodkan peningkatan keuntungan secara konsisten meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi semasa.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian tersebut mencerminkan kekuatan model perniagaan koperasi yang diurus secara berkesan serta berupaya menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi yang semakin dinamik.

“Alhamdulillah, berdasarkan laporan tahunan yang saya lihat, KOSMA terus mempamerkan prestasi yang sangat membanggakan.
“Dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berdepan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, koperasi ini masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan serta merekodkan peningkatan keuntungan secara konsisten.
“Lebih membanggakan, sektor perladangan yang menjadi teras utama aktiviti perniagaan KOSMA terus menunjukkan kekuatan apabila berjaya menjana pendapatan sebanyak RM295.19 juta pada tahun 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) kali ke-41 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di sini.
Turut hadir barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengerusi KOSMA, YH. Dato’ Haji Zamri Haji Mohamed, Timbalan Pengerusi KOSMA, YH. Dato’ Haji Mohd Sabri Haji Abdullah, barisan Ahli Lembaga Pengarah dan ahli KOSMA.

Tambahnya, kejayaan yang dicapai bukan sahaja dapat dilihat menerusi angka keuntungan, malah turut memberi manfaat secara langsung kepada anggota koperasi.
“Bagi tahun kewangan 2024, anggota KOSMA telah menerima agihan yang amat baik, melibatkan dividen sebanyak 55 peratus atas modal syer, serta keuntungan unit ladang sebanyak RM5,000 seunit.
“Manakala bagi tahun 2025, prestasi yang lebih baik telah membolehkan keuntungan unit ladang meningkat kepada RM6,000 seunit, sementara agihan dividen modal syer pula tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin KOSMA mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dengan kedudukan aset yang semakin kukuh.
“Saya melihat KOSMA mempunyai peranan yang sangat besar untuk turut serta memanfaatkan peluang-peluang ekonomi baharu yang sedang diwujudkan oleh kerajaan.
“Saya percaya pengalaman luas yang dimiliki KOSMA mampu menjadikan koperasi ini sebagai antara peneraju ekonomi rakyat yang berjaya dan berdaya saing bukan sahaja di Pahang, malah di peringkat nasional,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

