Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 JUN 2026 : Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk membantu dan memperkasa institusi tahfiz di negeri ini agar dapat terus berkembang secara lebih teratur dan berdaya saing.
Menurut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini dapat dilihat melalui bantuan sebanyak RM2,000 kepada setiap maahad tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka.

“Alhamdulillah, usaha menggalakkan pendaftaran institusi tahfiz menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan.
Jika pada tahun 2018 hanya terdapat 29 institusi tahfiz sahaja yang berdaftar, hari ini jumlah tersebut telah meningkat kepada 141 institusi.
“Peningkatan yang begitu ketara ini membuktikan bahawa institusi tahfiz di Negeri Pahang semakin tersusun, diyakini masyarakat dan bergerak dalam satu ekosistem pendidikan yang lebih sistematik,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh usaha agar lebih banyak institusi tahfiz dapat didaftarkan bagi menikmati pelbagai bentuk sokongan serta pembangunan yang disediakan.
“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa meletakkan agenda pendidikan Islam dan pembangunan tahfiz sebagai antara keutamaan negeri. Ini juga selari dengan Aspirasi Pahang 1st yang menjadikan pemerkasaan agama Islam sebagai tiang seri kepada pembangunan negeri.
“Kita percaya bahawa negeri yang makmur bukan hanya negeri yang kaya dengan hasil bumi, tetapi negeri yang subur dengan ilmu, dihiasi akhlak dan dipimpin oleh generasi yang dekat dengan Allah SWT.

“Atas keyakinan bahawa pembangunan tahfiz perlu dirancang secara menyeluruh dan berterusan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang telah membangunkan satu ekosistem pendidikan tahfiz yang lengkap dan tersusun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Huffaz Pahang 2026 di Yayasan Pahang yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. -PAHANGMEDIA

