Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 JUN 2026 : Pahang berjaya membuktikan pendidikan tahfiz di negara ini boleh dibangunkan secara bersama, tetapi sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pahang telah membina ekosistem tahfiz negeri ini dengan lebih tersusun dalam usaha memperkukuh pendidikan tahfiz negara.

“Dalam usaha memperkukuh pendidikan tahfiz negara, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang dan semua pihak yang telah membina ekosistem tahfiz negeri ini dengan lebih tersusun. “Pahang membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh dibangunkan bukan secara terpisah, tetapi sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.
“Bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath, dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz daripada asas di peringkat awal.

“Contohnya, usaha menyemai kecintaan kepada Al-Quran sejak usia awal telah pun diterjemahkan di Pahang melalui ilham Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menerusi Tadika Tahfiz Negeri Pahang.
“Daripada asas awal inilah, Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz.
“Lebih membanggakan, model ini tidak terhenti di Pahang. Melalui kerjasama Yayasan Pahang dan KEMAS sejak tahun 2023, Modul Tadika Tahfiz Negeri Pahang telah disebarluaskan ke TABIKA KEMAS seluruh Malaysia dengan penglibatan seramai 146,390 kanak-kanak dalam program huffaz cilik ini melalui 9,745 TABIKA KEMAS,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan agar Negeri
Pahang dapat melahirkan huffaz yang menjaga kalam Allah SWT serta melahirkan generasi yang berlandaskan Al-Quran.
“Ini membuktikan bahawa apabila pendidikan Al-Quran disusun dengan visi yang jelas, ia boleh bermula seawal usia kecil, berkembang dalam sistem pendidikan, dan melahirkan generasi yang bukan sahaja dekat dengan Al-Quran, tetapi memiliki asas adab, disiplin dan kecintaan kepada ilmu.
“Mudah-mudahan daripada bumi Pahang ini, lahir huffaz yang bukan sahaja menjaga kalam Allah, tetapi turut menyumbang kepada masa depan umat, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Himpunan Huffaz Pahang 2026 di Yayasan Pahang yang turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. -PAHANGMEDIA

