Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 JUN 2026 : Pelbagai inisiatif pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pahang terus membuahkan hasil apabila negeri ini mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (GPS) tertinggi dalam sejarah pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan skor 3.09 bagi tahun 2025.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Pahang, Encik Yusof Kassim berkata, pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan usaha berterusan kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dalm memperkasakan pendidikan Tingkatan Enam melalui pelbagai program akademik dan kebajikan pelajar.
Menurut beliau, antara inisiatif yang menyumbang kepada peningkatan prestasi itu termasuk penyediaan modul pembelajaran, program Juadah Makmur serta Seminar Inspirasi STPM yang menghimpunkan pakar-pakar mata pelajaran bagi membantu pelajar menguasai teknik menjawab peperiksaan dengan lebih berkesan.
“Usaha Kerajaan Negeri yang juga menyumbang kepada keputusan STPM ini antaranya ialah pemberian modul, Juadah Makmur, Seminar Inspirasi STPM kita kumpulkan pakar pakar dalam menjawab soalan STPM, kita beri pendedahan daripada semua perkara.
“Jadi usaha itu banyak tetapi saya percaya semua usaha itu memberi impak kepada peningkatan pencapaian STPM pada tahun 2025” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM Tahun 2025 Negeri Pahang, di Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Secara keseluruhan, Pahang berjaya mengekalkan GPS melebihi 3.00 dengan merekodkan pencapaian tertinggi iaitu 3.09. Negeri ini turut mencatat peningkatan peratus Pusat Tingkatan Enam (PTE) yang memperoleh sekurang-kurangnya GPS 3.00 daripada 63.16 peratus kepada 72.97 peratus.
Selain itu, jumlah calon yang memperoleh sekurang-kurangnya PNGK 3.00 meningkat daripada 55.90 peratus kepada 58.74 peratus, manakala peratus calon yang memperoleh PNGK 4.00 turut meningkat daripada 4.01 peratus kepada 5.45 peratus.
Kecemerlangan pendidikan Tingkatan Enam di Pahang turut mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan menerusi Anugerah Khas Kebangsaan STPM 2025 apabila Kolej Tingkatan Enam Astana, Kuantan dan Kolej Tingkatan Enam Seri Lipis dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kategori Kolej Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan.
Lebih membanggakan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerantut turut menerima pengiktirafan dalam Kategori Pusat Tingkatan Enam (Mod 2 dan Mod 3) Terbaik Kebangsaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai antara negeri yang cemerlang dalam pendidikan prauniversiti negara.
Mengulas lanjut, pencapaian ini membuktikan negeri Pahang berada di landasan yang tepat untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam STPM selaras dengan Inisiatif 7 Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) 2021-2030 yang menggalakkan lepasan SPM memilih Tingkatan Enam sebagai laluan utama sebelum melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi. -PAHANGMEDIA

