Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 17 JUN 2026 : “Saya tak sangka (dapat sumbangan daripada Kerajaan Negeri), tak dapat nak cakap rasa tu,” kongsi penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang, Encik Ahmad Tarmizi Yunus.
Encik Ahmad Tarmizi, 61, turut sebak ketika melahirkan penghargaan kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang menyampaikan bantuan bagi tanaman kantan yang diusahakannya.

“Saya nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Menteri Besar Pahang ini atas sumbangan ini. Saya akan berusaha supaya apa yang saya dapat ini.
“Hari ini dapat sumbangan untuk tanaman bunga kantan. Insya Allah, saya akan usahakan dalam tanah yang ada, dalam 2 hektar. Sebelum ini saya telah buat dalam 70 pokok, 70 rumpun,” katanya yang berasal dari Kampung Gali, Raub.
Sementara itu, Puan Fariza Alias, 59, dari Kampung Dong, Raub, turut melahirkan rasa syukur dan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi keperluan perubatan ibunya, Puan Zawiyah Talib yang terlantar.

“Hari ini dapat bantuan perubataan untuk ibu saya yang sakit tua. Rasa bersyukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin kepada rakyat yang sakit.
“Plan nak beli barang macam pampers sebab dia dah terbaring tak boleh bangun, berdiri pun tak boleh, duduk pun tak boleh. Baring je. Dibantu semua. Makan pun disuap. Umur emak dah 99 tahun. Terima kasih banyak kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan,” katanya.
YAB. Menteri Besar Pahang sebelum itu berkata bahawa sumbangan yang disampaikan kepada rakyat ini akan diangkat ke tahap lebih tinggi bagi kemakmuran Negeri Pahang.
Seramai 51 penerima telah menerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang keseluruhannya berjumlah RM353,695 yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang di Dewan Umno Sungai Koyan. -PAHANGMEDIA

