Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 17 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang yang terus memberi bantuan kepada rakyat di negeri ini.
Paduka Baginda bertitah keperihatinan berterusan oleh Kerajaan Negeri bakal membina kepercayaan daripada rakyat dan tidak seharusnya bersifat bermusim.
“Bantuan kepada rakyat pula tidak seharusnya hadir seperti hujan bermusim; lebat ketika pilihan raya, kemudian hilang apabila musim berlalu. Sebaliknya kebajikan rakyat hendaklah mengalir seperti sungai yang tidak pernah berhenti menuju muara.
“Justeru saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang terus berusaha membantu rakyat tanpa mengira musim dan keadaan.
“Keperihatinan yang berterusan inilah yang akan membina kepercayaan, bukan sekadar slogan yang dicetak pada kain rentang atau ungkapan yang diulang-ulang di pentas politik,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengajak semua pihak terutama pemimpin untuk merenung kembali makna hijrah yang bukan sekadar meninggalkan bumi kelahiran tetapi berkenaan amanah yang digalas.
“Hijrah bukan sekadar langkah kaki meninggalkan bumi kelahiran tetapi hijrah hati daripada kepentingan diri kepada amanah yang dipikul, daripada kata-kata yang indah kepada tindakan yang memberi manfaat.
“Dalam meniti perjalanan sebuah negeri dan negara, rakyat tidak mendambakan pemimpin yang petah berbicara semata-mata. Rakyat mengharapkan pemimpin yang apabila berkata, kata-katanya menjadi pegangan; apabila berjanji, janjinya menjadi kenyataan; dan apabila memegang amanah, amanah itu dipikul sehingga selesai.
“Hari ini terlalu banyak suara yang bergema di pentas-pentas ceramah dan media. Namun tidak semua gema membawa makna…Hakikatnya rakyat bukan lagi membaca apa yang tertulis di atas kertas. Rakyat membaca watak di sebalik kata-kata. Rakyat tidak menilai seindah mana pidato disusun tetapi sejauh mana amanah ditunaikan,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika bercemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan. -PAHANGMEDIA

