Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 17 JUN 2026 : “Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenaan isu tuntutan oleh golongan bukan warganegara di negara ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah agar pihak berkuasa bertindak tegas, bijaksana, dan berhemah berdasarkan undang-undang dalam menangani isu bukan warganegara yang ditumpangkan di negara ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah bahawa kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat dipertahan tanpa ragu, dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian.
“Islam mengajar kita untuk berlaku ihsan terhadap mereka yang ditimpa musibah, kehilangan tanah air serta menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
“Namun rahmah yang dianjurkan agama tidak pernah bererti kita mengabaikan kedaulatan negara atau membiarkan belas ihsan melangkaui batas yang ditetapkan oleh undang-undang.
“Sesungguhnya, belas ihsan itu lambang kemuliaan sebuah bangsa, tetapi kedaulatan negeri dan negara adalah amanah yang tidak boleh digadai,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah dalam titah turut menzahirkan keperihatinan berkenaan kegusaran rakyat berkenaan isu dan tuntutan yang dikemukakan oleh golongan bukan warganegara yang dibantu di negara ini.
“Kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasr kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.
“Dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya.
“Rakyat negara ini telah lama menunjukkan sifat pemurah dan berperikemanusiaan. Namun, kemurahan hati itu jangan sekali-kali disalah tafsir sebagai kelemahan.
“Tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran,” titah baginda.

Paduka Baginda dalam titah turut mengingatkan amanah dalam memelihara kedaulatan negara berdasarkan keadilan dan undang-undang yang dapat dilihat melalui peristiwa hijrah Rasulullah SAW.
“Peristiwa hijrah yang kita hayati pada hari ini mengajar bahawa sesebuah masyarakat tidak dapat dibina hanya atas dasar belas ihsan semata-mata, tetapi mesti berdiri teguh di atas tiang keadilan, kedaulatan, dan undang-undang.
“Ketika Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda bukan sekadar menyelamatkan umat, bahkan membina sebuah negara yang teratur, aman, dan dihormati,” titah baginda ketika bercemar duli menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Hijrah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan. -PAHANGMEDIA

