Oleh : Nur Saadah Artika
KUANTAN, 13 JUN 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong pembangunan sektor kesihatan termasuk pelaksanaan inovasi klinikal menerusi program-program ilmiah yang mampu memperkukuh kualiti perkhidmatan perubatan demi kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, aspek kesihatan sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan Negeri selaras dengan slogan Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan.
“Slogan negeri kita, Pahang 1st: Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan tidak pernah meminggirkan aspek kesihatan.
“Kerajaan Negeri akan terus menyokong penuh prasarana kesihatan dan program-program ilmiah sebegini bagi memastikan kemudahan rawatan terbaik dapat diakses oleh segenap lapisan masyarakat, termasuk komuniti luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang merasmikan Annual Scientific Meeting & East Coast Medical Update 2026 yang berlangsung di Zenith Hotel Kuantan, di sini hari ini.
Menurut beliau, tema persidangan tahun ini iaitu “Advancing Clinical Care: From Innovation to Updates” amat bertepatan dengan perkembangan pesat yang sedang berlaku dalam landskap perubatan global.
“Tema persidangan tahun ini, “Advancing Clinical Care: From Innovation to Updates” adalah sangat tepat pada masanya.
“Landskap dunia perubatan hari ini sedang berubah dengan begitu pantas. Penemuan teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI), kemajuan diagnostik persis (precision diagnostics), dan kaedah rawatan hibrid menuntut para doktor untuk sentiasa memperbaharui corak penyampaian klinikal,” katanya.
Beliau berkata penguasaan ilmu klinikal terkini dalam kalangan pengamal perubatan adalah penting bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan terus dipertingkatkan selaras dengan perkembangan dunia perubatan semasa.

“Kerajaan Negeri Pahang sentiasa melihat sektor kesihatan sebagai pemacu utama kesejahteraan rakyat.
“Apabila pakar dan pengamal perubatan kita dilengkapi dengan ilmu klinikal yang paling up-to-date, maka standard kualiti penjagaan pesakit di hospital-hospital Pantai Timur khususnya akan meningkat setaraf dengan pusat perubatan global,” katanya.
Beliau turut menyeru para peserta memanfaatkan sepenuhnya persidangan selama 2 hari tersebut sebagai platform untuk meneroka ilmu baharu, berkongsi pengalaman serta memperkukuh jaringan profesional bersama pakar-pakar dalam pelbagai bidang perubatan.
“Kepada para peserta persidangan, gunakanlah ruang dua hari ini sepenuhnya. Teroka, libat urus, dan timba pengalaman (Explore, Engage, Experience) bersama barisan panel pakar.
“Pulanglah ke hospital dan klinik kesihatan masing-masing nanti dengan semangat yang baharu, strategi yang lebih mantap, serta komitmen yang lebih tinggi untuk menyelamatkan nyawa,” katanya. -PAHANGMEDIA

