KUANTAN, 12 JUN 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada anak jati Negeri Pahang, Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer, atas kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah global berprestij, World Summit Awards yang berlangsung di Vienna.
Kejayaan tersebut disifatkan sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja buat Negeri Pahang, malah seluruh negara apabila anak tempatan berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi inovasi dan keusahawanan digital.
Nadzrul Hanif, 36, yang merupakan pengasas syarikat pemula teknologi Semart, menerima pengiktirafan berkenaan hasil pembangunan aplikasi yang membantu usahawan mikro mengurus kewangan serta merekod jualan secara digital dengan lebih cekap dan sistematik.
Baginda Tuanku berdua turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan tersebut yang mencerminkan keupayaan generasi muda Pahang dalam meneroka bidang teknologi, inovasi dan keusahawanan digital, sekali gus membuktikan anak negeri ini mampu bersaing dan mencipta kejayaan di peringkat global.
Menurut Baginda, pencapaian berkenaan bukan sahaja mengangkat nama Pahang di persada dunia, malah menjadi bukti bahawa usaha gigih, kreativiti dan keberanian dalam meneroka teknologi mampu menghasilkan impak besar kepada masyarakat serta ekonomi negara.
Baginda turut berharap kejayaan yang diraih oleh Nadzrul Hanif akan menjadi sumber inspirasi kepada lebih ramai anak muda Pahang untuk terus berani mencipta peluang, meneroka bidang teknologi dan inovasi serta berusaha mencapai kecemerlangan demi kemajuan negeri dan negara.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai anak muda Pahang yang berdaya saing, inovatif dan mampu mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa,” titah Baginda.– PAHANG MEDIA

