Oleh : Nur Saadah Artika & Ummul Qistina Sofea
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 JUN 2026 : Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC) meraikan satu abad penubuhannya menerusi pelancaran Sambutan Centenary RPPC yang berlangsung meriah di East Coast Mall (ECM), sekali gus menandakan permulaan rangkaian acara istimewa bagi memperingati sejarah panjang dan kegemilangan sukan polo di negeri ini.
Majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan RPPC itu telah disempurnakan oleh Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah bersama Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Turut hadir Yang Hormat Mulia Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz.
Sambutan yang berlangsung selama empat bari bermula pada 11 Jun dan berakhir pada 14 Jun menjadi pembuka tirai kepada rangkaian program istimewa sempena ulang tahun ke-100 RPPC yang bakal mencapai kemuncaknya menerusi kejohanan polo berprestij di Pekan pada September depan.
YAM Tengku Panglima Raja berkata, kelangsungan RPPC sehingga mencecah usia satu abad membuktikan komitmen berterusan keluarga diraja Pahang dalam memelihara dan mengembangkan sukan polo merentasi generasi.

“Harapan saya untuk Kelab Polo Diraja Pahang, insya-Allah semoga ia terus berterusan. Sudah empat generasi daripada Almarhum Sultan Abu Bakar kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah, kemudian generasi ketiga Paduka Ayahanda Sultan Abdullah dan generasi keempat iaitu adinda Tengku Mahkota Pahang.
“Secara langsung saya dan adinda-adinda yang lain juga merupakan generasi keempat yang meneruskan legasi ini. Insya-Allah selepas ini mungkin anakanda saya dan anakanda-anakanda adinda yang meminati sukan ini pula akan menyambung legasi permainan polo,” katanya.
YAM Tengku Panglima Raja turut berharap usaha yang dilakukan bagi memperkasa pembangunan sukan polo di Pahang terus berkembang serta melahirkan lebih ramai pemain tempatan yang berdaya saing.

“Dan juga kembangkan lagi sukan polo khas di Pekan, di Pahang dan di Malaysia dan sehingga kini ramai pemain daripada pasukan Malaysia itu sendiri daripada Pahang,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, YAM Tengku Panglima Raja berkata sambutan ulang tahun yang akan berlangsung selama hampir 20 hari di Pekan kelak dijangka dapat menarik penyertaan meluas daripada pasukan dan pemain antarabangsa.
“Insya-Allah dalam tempoh 20 hari itu suasananya akan meriah bukan sahaja di Pekan tetapi juga di Kuantan. Ramai daripada komuniti luar negara akan datang, termasuk pemain dan pasukan dari luar negara.

“Kita jangkakan sekitar lapan pasukan akan menyertai pertandingan sempena sambutan 100 tahun ini, manakala antara lapan hingga 10 pasukan lagi akan mengambil bahagian dalam Tengku Ampuan Patrons Cup,” katanya.
YAM Tengku Panglima Raja juga menegaskan sambutan bersejarah itu tidak akan bermakna tanpa penglibatan rakyat yang sentiasa menjadi tunjang kepada kejayaan dan kemeriahan setiap acara yang dianjurkan.
“Sambutan ini semestinya akan diraikan bersama rakyat. Kalau tiada rakyat, tiadalah roh kepada sambutan ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

