Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda pelancongan berasaskan kelestarian apabila Galeri Lipis Geopark dijangka dibuka pada suku ketiga tahun 2026, sekali gus menjadi pusat utama promosi, pendidikan dan kesedaran awam mengenai kekayaan geologi negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, pembangunan Galeri Lipis Geopark merupakan antara inisiatif penting dalam memperkukuh identiti pelancongan berasaskan konservasi, di samping menyokong aspirasi negeri ke arah pengiktirafan UNESCO Global Geopark bagi Lipis Geopark.
“Pembukaan Galeri Lipis Geopark dilihat sebagai pemangkin baharu yang akan mengukuhkan kedudukan Pahang sebagai destinasi utama pelancongan berasaskan alam semula jadi dan warisan geologi negara.
“Justeru itu, Galeri Lipis Geopark dijangka dibuka pada suku ketiga 2026 sebagai pusat promosi, pendidikan dan kesedaran masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 12 pakej pelancongan khas telah dirangka bagi memberi pengalaman secara langsung kepada pelawat, merangkumi elemen warisan, alam semula jadi dan penghayatan budaya setempat.
“Pendekatan ini bukan sekadar menarik pelancong, tetapi membina kefahaman mendalam terhadap nilai pemuliharaan dan keunikan geologi Pahang,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut meletakkan sasaran besar di bawah kempen “Visit Malaysia 2026 – Pahang First” dengan sasaran 15.5 juta pelancong ke negeri ini. -PAHANGMEDIA

