Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang sedang meneliti secara menyeluruh hala tuju pembangunan semula kawasan FELDA Bukit Goh bagi membantu peneroka yang terjejas akibat aktiviti perlombongan di kawasan berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, pendekatan tersebut akan dilaksanakan secara lebih mampan dan berdaya tahan bagi memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara.
“Beberapa cadangan pembangunan telah dikemukakan oleh pihak swasta termasuk pembangunan bercampur, projek tanaman semula serta inisiatif tenaga seperti solar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, YB Tuan Ayub Mat Ashri pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambahnya, cadangan tersebut sedang diperhalusi oleh jawatankuasa khas bagi memastikan setiap perancangan memberi pulangan yang adil kepada peneroka.
“Cadangan-cadangan ini telah dan sedang dibentangkan kepada jawatankuasa khas yang dilantik, dan proses penilaian masih berjalan bagi memastikan setiap cadangan yang dipertimbangkan memenuhi keperluan teknikal, ekonomi serta memberi pulangan yang adil kepada peneroka.
“Ini pesanan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bahawa kita perlu memihak kepada peneroka. Apa yang diinginkan oleh peneroka akan kita pertimbangkan secara menyeluruh melalui perbincangan bersama kepimpinan peneroka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Cadangan Pembangunan Kawasan FELDA Bukit Goh bagi memastikan setiap cadangan diteliti secara menyeluruh sebelum dikemukakan kepada Kerajaan Negeri Pahang.
“Jawatankuasa Khas ini ditubuhkan bagi meneliti dan memperincikan semua cadangan yang dikemukakan. Hasil penilaian jawatankuasa ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat sebelum diangkat untuk pertimbangan dan keputusan oleh Kerajaan Negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

