Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Negeri Pahang kini memiliki seramai 480 pakar perubatan dengan 376 daripadanya berkhidmat di hospital kerajaan di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mencatatkan jumlah pakar tertinggi iaitu 210 orang, diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dengan 90 pakar.
Menurut beliau, Hospital Kuala Lipis mempunyai 40 pakar, Hospital Bentong (18), Hospital Pekan (15), manakala Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Cameron Highlands, Hospital Jengka dan Hospital Muadzam Shah masing-masing mempunyai seorang pakar perubatan.
“Bagi Hospital Rompin, Jerantut dan Raub, terdapat seorang pakar perubatan kecemasan yang bertugas di setiap hospital. Manakala di Hospital Bera, pakar perubatan kecemasan dari HOSHAS akan membuat lawatan berkala dua kali sebulan ke unit kecemasan bagi memastikan perkhidmatan rawatan yang efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB Dato’ Wong Tat Chee pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan daripada 376 pakar perubatan di hospital kerajaan, bidang perubatan umum mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 61 orang, diikuti patologi (40) dan anestesiologi (36).
Bidang lain termasuk kecemasan dan trauma (32), ortopedik (30), obstetrik dan ginekologi (30), pediatrik (26), radiologi (23), psikiatri (20), oftalmologi (20), dermatologi (20) serta pembedahan umum (16).
Beliau turut memaklumkan negeri ini mempunyai kepakaran lain termasuk bedah otak, nefrologi, urologi, pembedahan plastik, kardiologi, rehabilitasi, forensik dan respiratori.
Sementara itu, seramai 29 pakar kesihatan awam turut ditempatkan di seluruh negeri dengan 13 daripadanya bertugas di Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.
Menjawab soalan tambahan ADUN Kuala Sentul berhubung pembatalan pembinaan Hospital Maran, beliau berkata Kerajaan Negeri dimaklumkan mengenai perkara itu ketika lawatan kerja Menteri Kesihatan baru-baru ini.
Katanya, Klinik Kesihatan Maran yang kini berstatus jenis empat akan dinaik taraf kepada jenis tiga termasuk perkhidmatan X-ray, rawatan kecemasan, enam katil pemerhatian serta operasi 24 jam yang dijangka bermula sekitar September atau Oktober ini.
“Penilaian telah dibuat dan dari segi keperluan masih belum sampai tahap untuk mewujudkan sebuah hospital. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan berbincang semula perkara ini kerana maklumat baharu ini akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemungkinan rayuan,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

