Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang telah merangka pelan kontigensi bagi memastikan rantaian bekalan makanan dan sektor industri negeri ini terus stabil susulan ketidakstabilan geopolitik global melibatkan konflik Iran dan Amerika Syarikat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, langkah tersebut dilaksanakan secara proaktif bagi memastikan daya tahan rantaian bekalan di negeri ini terus terpelihara.
Beliau berkata, antara langkah utama diambil ialah memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi penambah baik dalam pelaksanaan subsidi diesel.
“Antaranya ialah penyelarasan bersama Kerajaan Persekutuan bagi menambah baik pelaksanaan subsidi diesel bersasar serta memperluas kelayakan penggunaannya, termasuk bagi keperluan logistik pertanian.
“Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada pengoptimuman pengeluaran tempatan melalui tanaman cepat hasil dan berimpak tinggi bagi menstabilkan bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, YB Tuan Haji Zuridan Mohd Daud pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Pahang turut usaha memperkukuh rantaian logistik dan pemasaran bagi membantu mengurangkan tekanan kos dalam kalangan pengusaha tempatan.
“Di samping itu, usaha memperkukuh rantaian logistik dan pemasaran terus dipergiat, termasuk menggalakkan pemasaran secara terus bagi mengurangkan kebergantungan kepada perantara dan meningkatkan pulangan kepada pengusaha.
“Sebagai contoh BUDI Agri memberi bantuan sasar sebanyak RM400 sebulan kepada petani, pesawah dan pekebun kecil yang layak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi alternatif bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah dan sumber tenaga konvensional.
“Kerajaan Negeri juga menggalakkan penggunaan teknologi dan juga alternatif dalam industri. Sebagai contoh, UMPSA, Profesor Madya Dr. Nina Suhaity Azmi telah menghasilkan produk KLEVA-BEADS yang menggunakan bakteria probiotic. Bakteria ini dapat membantu mengurangkan kimia sintetik dan meningkatan kesuburan tanah.
“Saya juga bersetuju dengan rakan saya iaitu ADUN Tras, kita perlu mempercepatkan teknologi penggunaan tenaga yang alternatif seperti susu getah sebagai gantian untuk petrol dan juga diesel.
“Alhamdulillah kita di Pahang ini masih terkawal. Kerajaan Negeri juga merupakan kerajaan yang pertama yang mengumumkan bahawa kita boleh bekerja dari rumah untuk membantu golongan pekerja dan penjawat awam mengurangkan kos petrol ataupun diesel,” katanya. -PAHANGMEDIA

