Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Sebanyak 60 projek bangunan dan kemudahan awam dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang sepanjang tahun 2026 dengan jumlah kos kontrak semasa bernilai RM1.5 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 48 projek merupakan projek Persekutuan dengan nilai kontrak RM938.71 juta, manakala 12 projek lagi adalah projek negeri bernilai RM562.10 juta.
Menurut beliau, sehingga Mei 2026, JKR Negeri Pahang telah berjaya menyiapkan tiga projek bangunan dan kemudahan awam melibatkan kos kontrak RM21.59 juta.
“Sehingga Disember 2026 pula, sebanyak 23 lagi projek dijangka dapat disiapkan membabitkan kos keseluruhan RM360.36 juta,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi tahun 2027, sebanyak 23 projek lagi dijangka siap melibatkan 17 projek Persekutuan dengan kos kontrak RM214.75 juta serta enam projek negeri bernilai RM86 juta.
Tambah beliau, penyiapan projek-projek berkenaan merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih selesa dan berkualiti kepada rakyat.
Jelasnya, projek-projek tersebut merangkumi pembangunan pelbagai kemudahan seperti klinik, sekolah, masjid serta infrastruktur awam lain yang memberi manfaat kepada masyarakat dan jabatan kerajaan.
“Selain meningkatkan keselesaan rakyat, kemudahan infrastruktur yang dibina ini juga membantu kakitangan kerajaan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya. -PAHANGMEDIA

