Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membayar pampasan sebanyak RM9.07 juta sebagai faedah penamatan kepada bekas pekerja Kilang Alps Electric (Malaysia) Sdn. Bhd. di Jengka yang terjejas susulan penutupan operasi kilang berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chong Siang berkata, berdasarkan data Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang, bayaran pampasan tersebut telah disalurkan kepada 312 pekerja dalam tempoh tujuh hari selepas pemberhentian dilaksanakan, mengikut formula kelayakan faedah penamatan yang ditetapkan.
“Bayaran faedah penamatan (pampasan) berjumlah keseluruhan RM9,078,120.74 telah dibayar kepada seramai 312 orang pekerja dalam tempoh tujuh hari selepas pemberhentian dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, YB Tuan Shahril Azman bin Abd Halim pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang.
Dalam pada itu, PERKESO turut memainkan peranan penting dalam membantu pekerja terjejas melalui Skim LINDUNG Kerjaya (Akta 800), termasuk bantuan Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Pendapatan Berkurangan dan Elaun Orang Tanggungan.
Menurut beliau, seramai 250 bekas pekerja Kilang Alps Bandar Jengka telah membuat permohonan kepada PERKESO dan kesemua permohonan tersebut telah diluluskan dengan jumlah manfaat keseluruhan kira-kira RM1.92 juta.
Sementara itu, Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri terus memantau serta menyelaras intervensi bagi memastikan kebajikan pekerja terjamin serta membuka peluang pekerjaan baharu kepada mereka yang terjejas.
Selain bantuan kewangan, pelbagai program kebolehpasaran dan latihan semula turut dilaksanakan termasuk sesi penempatan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, karnival kerjaya serta program latihan kemahiran dan keusahawanan belia.
Kerajaan Negeri menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan bekas pekerja kilang berkenaan tidak tercicir daripada peluang pekerjaan baharu, selaras usaha memperkukuh ekonomi dan pembangunan tenaga kerja di kawasan Jengka dan sekitarnya. -PAHANGMEDIA

