Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 MEI 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memperkukuh agenda kebajikan rakyat dan pemerkasaan wanita menerusi pelbagai inisiatif baharu yang bukan sahaja memberi bantuan kewangan, malah membuka ruang kepada rakyat berdikari serta menjana pendapatan mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang melaksanakan Program 2 Years Exit Programme (2YEP) sebagai strategi membantu penerima bantuan meningkatkan taraf hidup melalui bidang keusahawanan dan peningkatan pendapatan.
Menerusi program itu katanya, klien dibimbing, dipantau serta diberikan modal perniagaan mengikut potensi masing-masing dalam tempoh dua tahun sebelum bantuan ditamatkan secara berperingkat apabila mereka berjaya menjana pendapatan stabil.
“Inilah pendekatan baru kebajikan sosial yang kita tekankan pada hari ini daripada konsep memberi ikan kepada mengajar rakyat memancing,” katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
YB. Dato’ Sabariah memaklumkan seramai 132 penerima bantuan mendapat manfaat daripada program tersebut sejak tahun 2020 hingga 2025, manakala 19 lagi peserta dipilih menyertainya pada tahun ini.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri melalui JKM turut menyediakan skim bantuan bulanan negeri sebanyak RM350 sebulan kepada golongan memerlukan dengan perbelanjaan RM10.8 juta membabitkan 2,377 penerima pada tahun lalu.
“Bagi tahun 2026 sehingga Mei pula terdapat 2,282 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM4,017,400,” ujarnya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan wanita melalui pelbagai program di bawah Unit Pembangunan Wanita Negeri Pahang termasuk Program Anggun Maju yang memfokuskan bidang keusahawanan, kemahiran dan teknologi.
Tambahnya lagi, antara inisiatif diperkenalkan ialah Program Wanita Anggun Digital (WANDA) yang memberi latihan pembangunan diri, kepimpinan dan kemahiran komunikasi selain Program Suri Tekno bagi membantu suri rumah dan ibu tunggal meningkatkan kemahiran digital serta pemasaran atas talian.
Ujarnya, Program Permata Makmur turut diteruskan tahun ini dengan pemberian bantuan tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada bayi kelahiran Pahang yang layak sebagai usaha menjamin masa depan pendidikan anak-anak negeri itu.
Selain itu, Program Anggun Suri atau Program Perkahwinan Beramai-ramai juga diteruskan tahun ini melibatkan 14 Parlimen dan satu kem tentera selain turut akan menganjurkan sambutan Hari Ibu pada 17 Mei ini bagi mengetengahkan ikon-ikon wanita yang difikirkan begitu banyak menyumbang kepada rakyat di Negeri Pahang ini.
Dalam pada itu beliau turut menyatakan Kerajaan Negeri sedang meneliti kesinambungan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang susulan impak positif terhadap kesejahteraan wanita dan keluarga di negeri ini. -PAHANGMEDIA

