Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menegaskan tidak akan berkompromi dalam sebarang cubaan untuk mengganggu gugat keharmonian negeri khususnya melalui permainan isu-isu 3R (agama, kaum dan Institusi Diraja).
Baginda bertitah, semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu bertanggungjawab dalam setiap tindakan serta menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang.
“Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Negeri Pahang ke-15 bertempat di Wisma Negeri Pahang, di sini hari ini.
Dalam masa sama, Baginda turut menzahirkan rasa bangga apabila Pahang telah mengungguli tempat pertama dalam Indeks Perpaduan Nasional Tahun 2025 justeru menitahkan agar Pahang terus menjadi contoh sebagai negeri yang bertoleransi dan harmoni antara kaum.
“Hal ini bermakna perpaduan rakyat saya berada pada kedudukan yang sangat kukuh, hubungan rentas kaum yang harmoni dan keyakinan yang tinggi terhadap institusi kerajaan,” titah Baginda.
Baginda dalam titahnya turut menasihatkan agar sebarang isu berkaitan pembinaan rumah ibadat, sama ada di atas tanah kerajaan mahupun tanah persendirian hendaklah mematuhi sepenuhnya lunas undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.
“Janganlah bertindak ikut emosi dan tidak ada sesiapa yang boleh mendahului undang-undang dalam menangani perkara-perkara yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negeri.
“Saya mahu kita semua terus memperkukuh perpaduan, berkhidmat dengan penuh ikhlas demi memakmurkan negeri, menjamin kesejahteraan rakyat serta membina masa depan yang lebih cemerlang,” titah Baginda. -PAHANGMEDIA

