Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 MEI 2026 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Kerajaan Pahang yang berjaya menarik pelaburan komitmen sebanyak RM18.04 billion pada tahun lalu.
Baginda bertitah, lebih membanggakan, dalam tempoh 2019 hingga 2024, ekonomi negeri telah meningkat sebanyak 23 peratus yang mencerminkan keupayaan negeri ini untuk bangkit dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.
“Begitu juga dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri yang turut menyumbang sebanyak RM3.16 bilion kepada ekonomi negeri. Saya mahu State GLC ini terus diperkasakan agar menjadi pemacu utama ekonomi negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu baginda mahu supaya usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi terus dipertingkatkan di Negeri Pahang bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat khususnya golongan muda di negeri ini.
“Langkah ini penting bagi memastikan anak muda memilih untuk membina kerjaya di Negeri sendiri sekali gus membantu mengimbangi struktur demografi negeri,” titah baginda.
Baginda turut bertitah agar proses pelaburan dipermudahkan dan dipercepatkan kelulusan serta memastikan kecekapan dalam penyediaan tanah dan infrastruktur.
“Dalam hal ini, proses pelaburan perlu dipermudah dengan mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat kelulusan serta memastikan ketersediaan tanah dan infrastruktur yang mencukupi.
“Syarikat yang berdaya saing, tulen dan betul-betul nak melabur, kita mudahkan. Bagi mereka fast lane dan fast track. Kita tidak mahu pelabur berkualiti ini lari ke negeri lain,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

