Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 05 MEI 2026 : Kira-kira 10,000 penerima akan menerima manfaat daripada Kad Kesihatan Kasih Makmur Negeri Pahang Edisi Pahlawan pada tahun ini, sebagai usaha berterusan memastikan kebajikan golongan pejuang negara terus diberi perhatian sewajarnya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian kad kesihatan tersebut merupakan tanda penghargaan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan pengorbanan barisan pertahanan yang pernah berkhidmat mempertahankan negara.
“Ini adalah tanda ingatan kita kepada mereka yang banyak berkorban suatu ketika dahulu dan meninggalkan keluarga. Kita tahu mereka pergi ke perbatasan untuk mempertahankan negara.

“Jadi Kerajaan Negeri Pahang terpanggil untuk memberi sedikit bantuan dalam bentuk kad kesihatan kepada mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kad Kesihatan Kasih Makmur Negeri Pahang Darul Makmur Edisi Pahlawan di Klinik Perubatan Hijraa 24 Jam, hari ini.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Tambah beliau, jumlah penerima kad kesihatan berkenaan juga mencatatkan peningkatan setiap tahun secara keseluruhan, dengan nilai bantuan RM500 setahun bagi setiap penerima.

“Setiap tahun meningkat (penerima) dan nilai mereka dapat RM500 setahun. Jadi ini memudahkan veteren ATM dan PDRM, mereka tidak perlu pergi ke klinik kesihatan ataupun hospital untuk beratur.
“Mereka boleh mendapatkan perkhidmatan dengan segera dan dalam masa yang sama kita menggalakkan mereka untuk menjaga kesihatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kadar penebusan kad tersebut adalah hampir menyeluruh sejak program itu dilaksanakan pada tahun 2022. -PAHANGMEDIA

